16.03.26 Kerjasama terus diperkukuh bagi memastikan daya tahan sektor tenaga negara

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 Mac. – Jabatan Tenaga terus memperkukuh kerjasama antarabangsa, serantau dan domestik bagi memastikan penetapan ‘energy mix’ negara adalah berasaskan kajian teknikal, ekonomi serta penilaian risiko termasuk melalui kerjasama dengan ERIA, ASEAN Centre For Energy, ACE dan Asia-Pacific Economic Cooperation, APEC dalam pemodelan senario energy mix jangka panjang.

Integrasi tenaga boleh diperbaharui ke arah mencapai sasaran meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 2035 di bawah Brunei National Climate Change Policy serta penilaian kebolehlaksanaan teknologi rendah karbon seperti hidrogen hijau, ‘e-fuels’ dan ‘carbon capture’ dan ‘storage’.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan yang diminta oleh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin; dan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, juga Ketua Kampung Sengkarai, Daerah Tutong pada hari kelima Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Dapatan kajian ini kata Yang Berhormat Menteri, menjadi input penting dalam penetapan strategi tenaga negara khususnya bagi jangka masa sederhana dan panjang menuju tahun 2035 dan seterusnya. Bagi jangka masa sederhana, tumpuan diberikan kepada pengukuhan infrastruktur tenaga elektrik bagi menyokong pengintegrasian tenaga boleh diperbaharui termasuk tenaga suria di samping memajukan projek tenaga elektrik rentas sempadan Negara Brunei Darussalam (NBD)-Sarawak sebagai sebahagian daripada inisiatif ASEAN Power Grid, selaras dengan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada September 2025.

Bagi jangka masa panjang pula tambah Yang Berhormat, tumpuan diberikan kepada penilaian potensi pembangunan teknologi rendah karbon. Pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN, bagi NBD menyokong pembangunan projek hiliran bernilai tinggi serta meningkatkan daya saing dan daya tahan sektor tenaga negara.

Manakala di peringkat domestik kata Yang Berhormat, pihak jabatan turut bekerjasama dengan Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) bagi memperkukuh penyelidikan, analisis teknikal serta pembangunan kapasiti tempatan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan teknologi rendah karbon.

“InsyaaAllah, melalui kerjasama berterusan bersama rakan antarabangsa, serantau dan institut tempatan, penetapan ‘energy mix’ negara akan terus diperkukuh secara terancang bagi memastikan keselamatan, keterjaminan dan daya tahan sektor tenaga negara dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi serta perubahan lanskap tenaga global,” ujar Yang Berhormat lagi.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI