16.03.26 JPA kumpul data kehadiran kakitangan awam nilai impak sistem integrasi

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 Mac. – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada masa ini sedang melaksanakan proses pengumpulan data selama tiga bulan mulai bulan Januari hingga Mac 2026 melalui Sistem Sumber Manusia (SSM) bagi meneliti waktu-waktu kehadiran dan waktu keluar pejabat pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam.

Demikian dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof semasa menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas, mengenai kesan sistem persekolahan integrasi terhadap waktu keluar masuk kakitangan kerajaan, termasuk jika ada terjejas pelancaran tugas, keberkesanan operasi pejabat serta mutu perkhidmatan awam.

Perkara tersebut dijelaskan pada hari kelima Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026, di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

“Data tersebut akan digunakan bagi JPA mengkaji dan meneroka inisiatif bersesuaian dan bertepatan untuk menangani apa jua impak dari sistem integrasi yang berkaitan dengan produktiviti dalam perkhidmatan awam,” jelas Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.

Menurut Yang Berhormat lagi, data berkenaan akan membolehkan JPA dan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD) untuk menilai dengan lebih menyeluruh implikasi terhadap operasi dan kelancaran tugas serta mutu perkhidmatan awam dan penyampaian perkhidmatan.

Dalam masa yang sama, ketua-ketua jabatan adalah juga bertanggungjawab untuk terus membuat pemantauan terhadap pegawai-pegawai dan kakitangan mereka masing-masing agar sentiasa memastikan kelancaran tugas termasuklah keberkesanan operasi pejabat sentiasa terpelihara.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI