16.03.26 Isu perubahan iklim wajar diberikan perhatian menyeluruh

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 Mac. – Isu perubahan iklim wajar terus diberikan perhatian yang lebih menyeluruh dalam perancangan dan pelaksanaan perbelanjaan negara.

Perubahan iklim pada hari ini bukan lagi suatu perkara yang bersifat jangka panjang semata- mata atau hanya dibincangkan dalam konteks antarabangsa, sebaliknya kesannya telah dan sedang dirasai dalam bentuk yang semakin nyata termasuk cuaca yang tidak menentu, hujan lebat yang luar biasa, banjir, suhu yang meningkat, ancaman terhadap sumber air, hakisan pantai serta tekanan ke arah infrastruktur awam dan penempatan yang terdedah.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, juga Penghulu Mukim Ukong, Daerah Tutong semasa menyampaikan perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang (2026) Perbekalan, 2026/2027 dan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan pada hari kelima Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Pada hal ini, Yang Berhormat menghargai bahawa kerajaan telah menunjukkan komitmen jelas melalui dasar perubahan iklim Negara Brunei Darussalam (NBD) yang menggariskan hala tuju negara ke arah pembangunan rendah karbon dan pada masa yang sama memperkukuhkan daya tahan negara terhadap kesan perubahan iklim. Hala tuju ini juga selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai keseimbangan pelepasan karbon bersih sifar menjelang tahun 2050.

Pendekatan sedemikian adalah sangat bertepatan dan berpandangan jauh. Walau bagaimanapun, pada pandangan Yang Berhormat, aspirasi dan komitmen tersebut perlu sentiasa disokong oleh pelaksanaan yang mantap, penyelarasan yang berkesan, peraturan yang relevan serta peruntukan yang benar-benar dapat menyelamatkan kepada tindakan yang nyata di lapangan.

Yang Berhormat juga melihat bahawa usaha-usaha ke arah pembangunan rendah karbon yang diketengahkan dalam pembentangan belanjawan termasuk yang berkaitan dengan tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan pengurangan pelepasan karbon adalah perkembangan yang sangat menggalakkan.

Sebagai contoh ujar Yang Berhormat, pelaksanaan projek loji tenaga, fotovoltaik berkapasiti 30Mw yang dijangka dapat menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon pada kadar yang signifikan setiap tahun merupakan satu langkah yang amat positif.

“Inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu negara mengurangkan jejak karbon bahkan juga membuka ruang kepada pembangunan industri hijau, pemindahaan pengetahuan, pengukuhan kapasiti tempatan serta pewujudan peluang-peluang ekonomi baharu.

“Dalam erti kata lain, agenda perubahan iklim tidak harus dilihat dalam ruang lingkup alam sekitar semata-mata tetapi hendaklah difahami sebagai satu agenda yang turut menyentuh pembangunan ekonomi, daya saing negara, penciptaan pekerjaan, penguasaan teknologi dan kesejahteraan generasi akan datang.

“Namun demikian, kaola ingin menegaskan bahawa pendekatan terhadap perubahan iklim tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek mitigasi, iaitu usaha mengurangkan pelepasan karbon sahaja. Dalam masa yang sama, aspek adaptasi juga hendaklah diberikan perhatian yang seimbang, iaitu usaha untuk memastikan rakyat, penempatan, kemudahan awam dan infrastruktur negara lebih bersedia serta lebih terlindung dari kesan fizikal perubahan iklim,” ujar Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan pengalaman dan amalan di peringkat global, menunjukkan bahawa negara-negara yang berdepan dengan risiko iklim yang tinggi telah memberikan tumpuan bukan sahaja kepada tenaga hijau tetapi juga kepada aspek perlindungan fizikal sistem amaran awal, pengurusan risiko bencana, pemulihan ekosistem dan pengukuhan ketahanan komuniti.

Tambah Yang Berhormat lagi, sebagai contoh, terdapat negara-negara yang telah melabur secara besar-besaran dalam benteng perlindungan pantai, sistem tebatan banjir, pengurusan saliran dan pemulihan kawasan bakau sebagai sebahagian daripada langkah adaptasi jangka panjang. Ini menunjukkan bahawa perlindungan terhadap rakyat dan harta benda daripada kesan perubahan iklim memerlukan pendekatan yang menyeluruh, bersepadu dan berpandu penilaian risiko yang teliti.

Dalam hal ini juga kata Yang Berhormat, banyak kajian antarabangsa menunjukkan bahawa langkah perlindungan awal adalah jauh lebih baik dan lebih berjimat berbanding kos pembaikan dan pemulihan selepas berlakunya kerosakan. Justeru itu, pendekatan pencegahan perlu sentiasa diberikan keutamaan dalam perancangan pembangunan negara.

Berhubung dengan perkara ini, Yang Berhormat ingin menarik perhatian kepada kawasan-kawasan penempatan yang terdedah kepada risiko hakisan pantai dan ancaman ombak khususnya rumah-rumah kediaman yang terletak berhampiran dengan pesisiran pantai.

Antara kawasan yang wajar diberikan perhatian tegas Yang Berhormat lagi, ialah rumah-rumah kediaman di kawasan tepi pantai seperti di Kampung Danau, Daerah Tutong.

Pada pandangan Yang Berhormat, isu yang melibatkan kawasan-kawasan sedemikian hendaklah dilihat dan kerangka adaptasi perubahan iklim dan bukan semata-mata dianggap sebagai isu infrastruktur biasa. Ini adalah kerana, kesan yang timbul bukan sahaja melibatkan kerosakan fizikal kepada rumah dan persekitaran bahkan juga menyentuh soal keselamatan penduduk, keselesaan keluarga, kestabilan ekonomi serta perlindungan terhadap harta benda dan mata pencarian masyarakat.

Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat berpandangan bahawa kerajaan wajar terus meneliti dan jika bersesuaian memperkukuhkan lagi usaha-usaha pembinaan benteng-benteng penghadang ombak serta langkah-langkah perlindungan pesisir yang lain di kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi. Langkah sedemikian adalah penting melindungi penempatan penduduk, mengurang hakisan pantai, menjamin keselamatan awam, menggalakkan kerugian serta kos kerosakan yang lebih besar pada masa hadapan.

“Pada masa yang sama kaola juga berpandangan bahawa langkah-langkah perlindungan ini bolehlah dipertimbangkan secara lebih menyeluruh termasuk melalui pendekatan menggabungkan struktur kejuruteraan pemulihan ekosistem persisiran, penanaman rekreasi pantai serta memantau berkala terhadap perubahan garis pantai tahap risiko setempat.

“Kaola turut mengambil maklum bahawa dalam pembentangan belanjawan telah dinyatakan peruntukan sebanyak BND148.21 juta bagi meningkatkan keupayaan negara dalam menghadapi sebarang kecemasan dan menangani kejadian yang tidak disangka.

“Pada pandangan kaola, peruntukan ini adalah sangat signifikan terutama dalam keadaan dunia yang semakin terdedah kepada risiko bencana alam dan gangguan berkaitan iklim,” kata Yang Berhormat.

Walau bagaimanapun, Yang Berhormat ingin mencadangkan supaya semangat di sebalik peruntukan ini tidak hanya tertumpu kepada aspek tindak balas selepas berlakunya insiden tetapi turut diperluaskan kepada aspek kesiapsiagaan, pencegahan, perlindungan awal dan pengukuhan ketahanan komuniti termasuk di kawasan-kawasan persisiran yang lebih terdedah.

Yang Berhormat juga menekankan dalam erti kata lain supaya negara menghadapi kecemasan bukan hanya diukur melalui jumlah aset atau kecekapan tindak balas tetapi juga melalui sejauh mana negara berjaya mengurangkan risiko sebelum kejadian berlaku, melindungi komuniti yang terdedah dan memastikan pembangunan fizikal negara benar-benar mengambil kira realiti perubahan iklim.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI