16.03.26 Fokus utama belanjawan kepada pembangunan modal insan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 Mac. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohd. Salleh bin Haji Othman, juga Penghulu Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait semasa menyampaikan perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang (2026) Perbekalan, 2026/2027 dan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan pada hari kelima Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, menyatakan bahawa fokus utama belanjawan ini sewajarnya adalah pembangunan modal insan kerana dalam apa juga keadaan ekonomi, aset paling penting yang dimiliki negara adalah rakyatnya sendiri.

Slaid pembentangan dengan jelas mempertengahkan beberapa cabaran termasuk ketidakpadanan kemahiran dengan keperluan industri dan kepesatan perubahan teknologi termasuk Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence-AI).

Menjelaskan perkara itu di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, Yang Berhormat berpendapat, perkara ini perlu ditangani dengan lebih tegas dan lebih pantas. Kita tidak boleh terus bergantung kepada pendekatan lama dalam menyediakan tenaga kerja bagi tenaga baharu, kita memerlukan Sistem Pendidikan Latihan dan Pembangunan Kemahiran yang benar-benar dinamik, responsif dan berpaksikan keperluan sebenar industri.

“Kita memerlukan graduan dan pencari kerja yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi juga kemahiran teknikal, kemahiran digital dan daya tahan, disiplin, kebolehsuaian dan nilai profesionalisme yang tinggi.

“Kaola mengambil maklum bahawa dari segi pencapaian, negara mempunyai asas yang membanggakan. Antaranya Universiti Brunei Darussalam (UBD) berada di tangga ke-347 dunia pada tahun 2025 sekali gus meletakkan dalam 25 peratus institusi terbaik dunia negara.

“Negara juga berada di kedudukan 43 daripada 175 negara dalam Global Talent Competitiveness Index 2025, iaitu dalam kalangan sekitar 32 peratus negara teratas dunia,” kata Yang Berhormat.

Pencapaian ini kata Yang Berhormat, wajar dihargai, namun persoalan lebih besar adalah sejauh manakah pencapaian ini diterjemahkan kepada kebolehpasaran graduan meningkatkan produktiviti dan pengurangan pengangguran dalam kalangan rakyat tempatan?

“Pada pandangan kaola, ini masalah untuk kita memperkukuhkan hubungan yang lebih nyata atau antara pendidikan latihan dan pasaran kerja. Apa yang diajar mesti relevan dengan apa yang diperlukan, apa yang dilantik, dilatih, mesti selari dengan apa yang sedang berkembang dan apa yang dirancang dalam belanjawan mestilah mampu melahirkan tenaga manusia yang benar-benar dapat mengisi ruang dalam sektor-sektor strategi negara,” ujar Yang Berhormat.

Dalam pandangan Yang Berhormat juga, negara memberi tumpuan kepada lima sektor keutamaan, iaitu aliran minyak dan gas, makanan, perkhidmatan, pelancongan dan ICT. Ini adalah petunjuk yang sangat jelas mengenai arah ekonomi negara. Ertinya pembangunan modal insan tidak boleh lagi bersifat umum dan terlalu luas tanpa fokus.

Sebaliknya tambah Yang Berhormat, pembangunan modal insan mestilah benar-benar berkisarkan untuk memenuhi keperluan sektor-sektor keutamaan ini. Jika negara mahu memperluaskan sektor ICT, maka latihan digital, kemahiran data, automasi, keselamatan siber dan AI mestilah dipergiatkan.

Jika negara mahu memperkukuh sektor makanan dan agrimakanan, Yang Berhormat menyarankan latihan dalam pengeluaran moden, standard keselamatan makanan, teknologi pertanian, logistik dan penjenamaan produk serta juga mesti diperkasakan.

Jika negara mahu memajukan sektor perkhidmatan dan pelancongan, maka kemahiran bahasa, hospitaliti, pemasaran dan ‘customer experience’ perlu dipergiatkan, tambah Yang Berhormat.

Tanpa penjelasan seperti ini kata Yang Berhormat lagi, kita akan terus berdepan dengan keadaan di mana peluang pekerjaan diwujudkan, tetapi tenaga kerja yang sesuai masih sukar diperoleh. Dalam masa yang sama, juga ditekankan satu lagi usul yang sangat penting dalam perbahasan belanjawan ini, iaitu peranan pengusahaan tempatan khususnya mereka yang menghasilkan produk- produk tempatan yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

Pada hemat Yang Berhormat, pengusaha tempatan tidak boleh lagi dilihat hanya sebagai pemain kecil yang beroperasi di pinggiran ekonomi, sebaliknya, mereka perlu dilihat sebagai sebahagian daripada strategik negara dalam memperluaskan nilai tambah domestik, mencipta pekerjaan, meningkatkan eksport dan membina daya tahan ekonomi.

Dalam pembentangan tersebut, Yang Berhormat menjelaskan beberapa inisiatif penting telah di ketengahkan bagi memperkukuh perusahaan tempatan termasuk MSME Roundtable pada Disember 2025, Enterprise Growth Connect 2025, Brunei Startup Summit, Employment Series Workshops dan Youth Opportunities Unlocked 2025. Semua ini adalah langkah yang baik dan menunjukkan komitmen untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan.

Namun demikian, Yang Berhormat berpandangan bahawa kejayaan sebenar pengusaha tempatan tidak hanya diukur dari segi jumlah penciptaan dalam program atau bengkel, tapi juga sejauh mana mereka mampu menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti, berdaya saing melalui piawaian dan mampu menembusi pasaran yang lebih luas.

“Inilah sifat apa yang kaola melihat satu isu kualiti pengeluaran sebagai perkara yang sangat mustahak. Jika kita benar-benar mahu melihat produk tempatan mempunyai nilai pasaran yang tinggi di peringkat domestik dan global, maka pengusaha tempatan perlu dibantu.

“Bukan sahaja dari segi pemasaran, tapi juga dari segi teknologi pengeluaran, pematuhan standard, pensijilan, analisa mutu, pembungkusan, penjenamaan dan akses kepada rangkaian pasaran eksport.

“Dalam hal ini, kaola tertarik dengan penubuhan Brunei Integrated Analytical Laboratory atau BIAL, iaitu makmal ujian makanan pertama yang dikenalkan oleh pihak swasta. Ini sangat penting, kerana ia dapat mempercepat proses ujian berkaitan keselamatan makanan, sisa kimia, DNA dan keperluan pengurusan halal. Sekali gus membantu pengusaha tempatan memenuhi keperluan piawaian pasaran serantau dan antarabangsa,” ujar Yang Berhormat.

Pada hemat Yang Berhormat, inilah jenis infrastuktur, sokongan benar-benar memberi impak. Ia bukan hanya membantu perusahaan bertahan, tetapi membantu perusahaan naik kelas. Produk tempatan yang baik mestilah dapat dibuktikan baiknya melalui standard dan produk tempatan yang mahu bersaing di luar negara, mestilah dapat membuktikan kualitinya secara konsisten.

Selain daripada itu, Yang Berhormat juga melihat perkembangan seperti Brunei Week di Republik Singapura pada September 2025 dan penciptaan 12 syarikat tempatan dalam China-ASEAN Expo sebagai langkah yang sangat positif. Usaha seperti ini, penting membuka pasaran mengangkat jenama Negara Brunei Darussalam (NBD) dan menunjukkan bahawa produk tempatan kita mempunyai potensi untuk berada di peringkat serantau.

“Tapi, untuk benar-benar berjaya, produk tempatan mesti mempunyai nilai tambah keunikan, konsisten dan kapasiti pengeluaran yang mampu memenuhi permintaan pasaran.

“Koala juga menyentuh bahawa peranan pengusaha tempatan perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar, iaitu sebagai rakan penting dalam menyelaraskan isu pengangguran. Apabila perusahaan tempatan berkembang, apabila produk tempatan meningkat nilainya, apabila rantai pengeluaran domestik menjadi diperkukuh, maka lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk rakyat tempatan.

“Dalam hubungan ini, kehadiran 25 syarikat FDI yang telah mula beroperasi setakat Disember 2025 dan mewujudkan sekitar 4,000 peluang pekerjaan dengan 48 peratus diisi oleh anak tempatan adalah perkembangan yang baik.

“Tambahan pula, 18 lagi syarikat FDI masih dalam fasa perusahaan dijangkakan menjadikan sekitar 3,000 peluang pekerjaan lagi,” ujar Yang Berhormat lagi.

Namun, Yang Berhormat ingin membawa manfaat pelaburan asing ini mestilah benar-benar mengambil ke dalam ekonomi domestik, maksudnya perusahaan tempatan perlu diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada rantai bekalan perkhidmatan pelancongan, logistik, penyelenggaran, pengeluaran bersama dan pemberian teknologi.

Dalam erti kata lain kata Yang Berhormat, kita bukan hanya perlu mahu pelaburan datang, tetapi kita mahu pelaburan itu memberi keupayaan tempatan. Di sinilah pentingnya pendekatan seperti Enterprise Growth Connect 2025 yang berupa menghubungkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan peluang perniagaan strategik dan meningkatkan ‘in country value’.

Yang Berhormat berpandangan bahawa pendekatan seperti ini perlu terus diperluas, kerana ia menyumbang kepada dua bertambah besar serentak, iaitu memperkasa perusahaan tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih meluas.

Semasa perbahasan, Yang Berhormat juga menyatakan bahawa langkah-langkah penguatkuasa Perintah Pekerjaan, upah minimum kepada tujuh institusi bermula 1 April 2025 adalah satu langkah yang wajar dalam melindungi kesejahteraan pekerja. Namun, untuk memastikan faktor gaji yang lebih mampan pada masa hadapan negara perlu menumpukan perhatian kepada peningkatan kemahiran produktiviti dan nilai-nilai kerja.

“Gaji baik tidak akan kekal dan produk yang tinggi tidak akan tercapai tanpa modal insan yang benar-benar berkualiti,” tegas Yang Berhormat lagi.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI