BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Mac. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim menyatakan keprihatinannya terhadap kadar pengangguran belia yang meningkat kepada 18.3 peratus pada 2024 walaupun pengangguran keseluruhan adalah sekitar peratus, serta menaruh harapan bahawa inisiatif belanjawan akan meningkatkan kesejahteraan rakyat di bawah pimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Berucap pada Perbahasan Peringkat Dasar bagi Rang Undang-undang dan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026, bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, Yang Berhormat menyokong sepenuhnya Tema Belanjawan 2026 / 2027 iaitu ‘Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035’.
Ini kerana ia menggambarkan komitmen berterusan negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 yang berteraskan falsafah negara ‘Melayu Islam Beraja’. Ia memfokuskan kepada pengukuhan kestabilan fiskal, transformasi ekonomi dan kelestarian sosial, di samping menekankan peranan GLCs dan institusi kewangan.
“Begitu juga dengan tiga fokus yang dibentangkan iaitu memperkukuh kestabilan fiskal dan tadbir urus kewangan, memperkasa ekonomi melalui transformasi dan inovasi serta menjamin kelestarian sosial dan pembangunan masa hadapan,” terang Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat dalam pada itu, turut menyentuh cabaran fiskal termasuk defisit belanjawan, keperluan pengurusan perbelanjaan yang cekap serta pengukuhan Programme and Performance Budgeting (PPB), Public-Private Partnership (PPP) dan ‘fiscal rules’.
Yang Berhormat menekankan kepentingan strategi FDI yang berimpak tinggi, penglibatan sektor swasta serta pembangunan Bursa Saham bagi merangsang aktiviti ekonomi domestik.
Yang Berhormat turut mengongsikan pandangannya mengenai maklum balas orang ramai terutamanya dari masyarakat ‘business’ antaranya mengenai cabaran-cabaran terhadap kelangsungan perniagaan dan aliran tunai pengusaha perlu diambil perhatian, dianalisa dan diteliti kebolehlaksanaannya.
Beberapa input seperti ini juga pernah disentuh oleh IMF dalam Laporan Article IV Consultation terutamanya yang berkaitan dengan meningkatkan ‘environment business’ bagi menarik penglibatan sektor swasta dan cabaran ‘structure’ yang mengehadkan usaha untuk menarik FDI dan PPP.
Dengan memperkukuhkan lagi ‘institutional development’ ini, ia akan memudahkan masyarakat perniagaan khususnya untuk mengatasi cabaran- cabaran kelangsungan perniagaan yang akan memperkasa dan menggalakkan lagi penglibatan aktif sektor swasta ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat seterusnya melahirkan harapan agar inisiatif-inisiatif ini akan dapat membantu merangsang lagi aktiviti ekonomi domestik, meningkatkan pendapatan negara dan sekali gus menyediakan lebih banyak lagi peluang pekerjaan yang berkualiti kepada anak-anak tempatan selaras dengan kelulusan dan kelayakan masing-masing.
Ini juga diharap akan dapat mengurangkan jurang perbezaan kadar pendapatan di antara sektor awam dan sektor swasta dan dalam waktu yang sama, akan dapat meningkatkan ‘purchasing power’ rakyat dan penduduk secara amnya.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


