14.03.26 Usaha berterusan perkukuh infrastruktur jalan raya

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Mac. – Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) menekankan usaha berterusan dalam mempertingkatkan rangkaian infrastruktur jalan raya supaya berada dalam keadaan selamat, efisien dan selesa digunakan oleh orang ramai.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid semasa pertanyaan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau pada hari ketiga Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026, di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis menjelaskan beberapa langkah penambahbaikan telah dilaksanakan.

Menurut Yang Berhormat, pertama dari aspek bahan dengan penggunaan bahan-bahan baharu seperti ‘fiber reinforcement geogrid’ dan kaedah lain yang bersesuaian yang telah mula digunakan bagi mempertingkatkan ketahanan dan kualiti jalan.

Kedua, papan tanda lama diperbaiki dengan memilih kualiti bahan yang lebih baik daripada logam dan diganti dengan bahan komposit bagi papan-papan tanda; ketiga, penggantian sistem lama kepada sistem baharu lampu isyarat secara berperingkat di persimpangan lampu isyarat untuk pengurusan fasa isyarat secara lebih responsif.

Dan keempat, aspek reka bentuk sistem saliran didukung oleh Jabatan Saliran dan Pembetungan dan merupakan komponen yang penting bagi memastikan keselamatan serta ketahanan infrastruktur jalan raya dapat dicapai.

Yang Berhormat berkata, setiap projek pembinaan dan penaiktarafan jalan akan mengambil kira kapasiti saliran berdasarkan kepada analisis hidrologi dan data intensiti hujan semasa termasuk pertimbangan tempoh pulangan, ‘return period’ yang bersesuaian bagi mengurangkan risiko limpahan air.

“Manakala dari segi pencahayaan kawasan jalan raya adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Elektrik yang menyediakan lampu-lampu jalan di sepanjang jalan raya dan perkara ini sememangnya Jabatan Jalan Raya dan jua daripada kerjasama daripada Jawatankuasa Tertinggi Keselamatan Jalan Raya saling berhubung dengan Jabatan Perkhidmatan Elektrik untuk memastikan keperluan-keperluan bagi meningkatkan pencahayaan bagi tujuan keselamatan beberapa persimpangan jalan,” ujar Yang Berhormat.

Manakala bagi strategi penyelenggaraan berkala yang dilaksanakan adalah pemilihan kontraktor dengan hanya membenarkan kontraktor yang mempunyai loji aspal, ‘asphalt plant’ sendiri dalam Kelas 4,5 dan 6.

Selain itu, tambah Yang Berhormat, semua kerja pembaikan dilaksanakan berpandukan spesifikasi teknikal yang ditetapkan serta dipantau oleh Jabatan Jalan Raya.

Dalam masa yang sama, lawatan turun padang dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti tahap kerja-kerja penyelenggaraan adalah terkawal dan menepati kualiti dan juga keselamatan yang dikehendaki.

Jabatan Saliran dan Pembetungan juga berperanan dalam melaksanakan kerja-kerja pembersihan, pengorekan dan pemeliharaan longkang konkrit di sepanjang jalan.

“Jadi, perkara-perkara ini dibuat secara berjadual melalui kontrak penggal, pemeriksaan rutin juga turut dijalankan bagi mengenal pasti kerosakan struktur, mendapan atau halangan aliran yang boleh menjejaskan fungsi sistem saliran,” ujar Yang Berhormat.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI