BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Mac. – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh menekankan bahawa sejak pengenalan pada 2009, Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 (SPN21) menghadapi cabaran global yang semakin kompleks termasuk kemajuan teknologi pantas, anjakan demografi, Green Transition, ketidaktentuan ekonomi, geopolitik dan pandemik yang menuntut sistem pendidikan lebih anjal, responsif dan berdaya tahan.
Yang Berhormat menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan kenyataan bertajuk ‘Memperkasa Pendidikan Negara : Keutamaan Strategik Generasi Siaga Masa Hadapan’ pada hari ketiga Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Dalam kenyataannya Yang Berhormat juga menjelaskan bahawa perubahan landskap pekerjaan global termasuk automasi 92 juta pekerjaan serta pertumbuhan kemahiran AI, digital dan pekerjaan hijau menjelang 2030 (Laporan Future of Jobs 2025, World Economic Forum) memerlukan pembentukan modal insan yang lebih dinamik dan responsif.
Perubahan-perubahan ini ujar Yang Berhormat setentunya menuntut sistem pendidikan negara untuk diperkasa agar lebih anjal, responsif dan berdaya tahan.
“Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, dengan mengambil kira faktor-faktor ini, hala tuju pendidikan negara akan diadun secara strategik demi merealisasikan Matlamat Pertama Wawasan Brunei 2035, iaitu Melahirkan Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya, seterusnya memacu kemajuan ekonomi negara,” jelas Yang Berhormat.
Seterusnya, kongsi Yang Berhormat, cabaran yang dihadapi dalam konteks pendidikan negara terdiri dari tiga fokus utama, iaitu Pekerjaan Masa Hadapan (Future Work); Kemahiran Abad Ke 21; dan Transformasi Teknologi / Digital dalam Pendidikan.
Ketika menjelaskan lebih lanjut tentang fokus utama yang pertama iaitu Pekerjaan Masa Hadapan (Future Work), Yang Berhormat mengongsikan laporan Future of Jobs 2025, World Economic Forum (WEF) yang mengenal pasti 10 kemahiran utama pasaran pekerjaan global termasuk AI & Big Data, Cybersecurity & Networks, Technology Literacy, Creative Thinking, Resilience & Adaptability, Lifelong Learning, Leadership & Influence, Talent Management, Analytical Thinking dan Environmental Stewardship.
Dapatan ini ujar Yang Berhormat, diselaraskan dengan empat tumpuan pendidikan negara iaitu memperluas literasi digital dan AI di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan TVET; mentransformasi pembelajaran melalui ‘project-based learning dan’ penyelesaian masalah sebenar; mengukuhkan integrasi industri melalui latihan industri tersusun; serta membentuk graduan berdaya tahan dan berjiwa keusahawanan sebagai ‘job creators’.
Selain itu, ujar Yang Berhormat lagi, Kementerian Pendidikan turut membangunkan modul teras baharu dalam bidang ’emerging technologies’ dan ‘sustainability’ seperti AI, Data Science, Sains Alam Sekitar, Inovasi Hijau dan Perubahan Iklim dalam kurikulum IPT tempatan.
Yang Berhormat juga menyatakan bahawa program IPT Awam dan TVET diperkukuh melalui Feature Analysis Model, penglibatan industri serta pengiktirafan antarabangsa seperti Accreditation Board for Engineering and Technology (ABET) dan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di samping penekanan kepada gabungan kemahiran akademik, teknikal dan insaniah (soft skills).
Ketika menjelaskan mengenai fokus utama kedua iaitu kemahiran Abad Ke-21, Yang Berhormat berkata, SPN21 menekankan kemahiran STEAM dengan elemen 6Cs iaitu Critical Thinking, Creativity, Communication, Collaboration, Character dan Citizenship bagi memastikan modal insan kekal relevan dan berdaya saing.
Pendedahan awal, jelas Yang Berhormat, adalah bermula di sekolah rendah melalui Sains, Matematik dan ICT dengan pendekatan ‘inquiry-based’ dan ‘real-world learning’.
Ujar Yang Berhormat lagi program dan Pertandingan STEAM melalui Pusat STEP menunjukkan peningkatan penyertaan daripada 10,225 pelajar pada 2024 kepada 12,346 pada 2025 di samping pelajar juga didedahkan kepada kemahiran keusahawanan dan inovasi melalui program Celik Biz dan BigStart di bawah Pusat Pendidikan Inovasi (EIC).
Mengenai fokus utama ketiga: Transformasi Teknologi / Digital dalam Pendidikan pula Yang Berhormat menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam memperkukuh transformasi digital bagi menyokong aspirasi Smart Nation melalui Whole of Government Approach termasuk dalam pendidikan bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan akses sumber pembelajaran.
Yang Berhormat menjelaskan melalui MoE Digital Transformation Plan 2023–2027, rangkaian internet stabil telah disediakan kepada 100 peratus sekolah kerajaan melalui Projek National Education Network (NEN) manakala Projek School Network Infrastructure Upgrade (SNIU) menaik taraf prasarana ICT sekolah secara berperingkat, dengan Fasa 1 melibatkan sembilan sekolah dan Fasa 2 dijadualkan melibatkan 112 sekolah pada Tahun Kewangan 2026/2027.
Penggunaan AI di sekolah diberi perhatian melalui panduan GenAI Guidance for Education, manakala UBD, UNISSA dan UTB turut menggubal dasar penggunaan AI generatif bagi memelihara integriti akademik.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


