14.03.26 Sentiasa mengukuhkan hubungan kerajaan, masyarakat bagi menghasilkan impak menyeluruh

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Mac. – Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD) telah pun memperkenalkan Pelaksanaan Pendekatan Awam atau Regular Public Engagement (RPE) oleh agensi-agensi kerajaan sejak tahun 2018 melalui Surat Keliling JPM bilangan 6/2018.

Pelaksanaan ini turut disokong dengan garis panduan pendekatan awam yang bertujuan untuk menggalakkan penglibatan pihak berkepentingan merangkumi semua golongan yang terkesan atau mempunyai kepentingan terhadap sesuatu dasar termasuk golongan belia dan usahawan sebagaimana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat secara lebih bersistematik dan berkesan.

Demikian dijelaskan oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof ketika menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, juga Ketua Kampung Sengkarai, Daerah Tutong mengenai dasar belia pada hari ketiga Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Selain itu jelas Yang Berhormat melalui Jabatan Perkhidmatan Pengurusan juga akan sentiasa memperkukuhkan lagi RPE serta meningkatkan penglibatan pihak berkepentingan dan orang ramai termasuk meneroka penggunaan platform digital sebagai wadah penglibatan yang lebih terbuka dan telus.

“Pendekatan awam turut disokong melalui Program Sua Muka yang dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan bersama penduduk-penduduk kampung berfungsi sebagai platform perhubungan dua hala antara kerajaan dan masyarakat setempat bagi berkongsi dasar, isu semasa serta menangani keperluan penduduk kampung.

“Manakala, Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) adalah sebagai salah satu wadah kerajaan untuk membarigakan mesej-mesej utama kerajaan terutama sekali yang menyentuh dasar dan inisiatif terkini bagi mempertingkatkan kefahaman orang ramai terutama sekali di peringkat akar umbi sekali gus menjadi platform untuk memperkukuhkan penglibatan masyarakat untuk mendapatkan isu, pandangan dan cadangan penambahbaikan,” jelas Yang Berhormat.

Sebagai nilai tambah, Yang Berhormat seterusnya berkata antara lain program di bawah Jabatan Penerangan yang melibatkan golongan belia adalah seperti Program Perkampungan Sivik bagi lepasan ijazah bagi golongan belia dan lepasan ijazah dan Rakan Remaja Penerangan bagi para penuntut Tahun 9 dan 10 di sekolah-sekolah kerajaan dan swasta di seluruh negara.

Di samping itu kata Yang Berhormat lagi, kerjasama dengan sektor-sektor di luar kerajaan seperti sektor swasta akan turut ditekankan melalui Jawatankuasa Transformasi Perkhidmatan Awam (JTPA) mengikut kesesuaian perkara-perkara yang dibincangkan dalam memastikan penyelarasan dasar dan strategi secara rentas sektor serta menghasilkan impak yang menyeluruh.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI