14.03.26 Pelaksanaan projek jalan raya berpandukan perancangan kemajuan sedia ada

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Mac. – Kementerian Pembangunan menekankan bahawa pelaksanaan projek-projek jalan raya, sama ada melalui penambahbaikan jalan dan pembinaan jalan baharu dilaksanakan berpandukan perancangan kemajuan sedia ada dan yang telah diluluskan, dibuat selaras dengan mengambil simulasi aliran-aliran lalu lintas di dalam kawasan-kawasan setempat.

Dengan mengambil adaptasi kepada keadaan semasa yang dapat kita lihat di kawasan-kawasan yang penduduknya yang padat, maka terdapat kesesakan lalu lintas pada waktu-waktu ‘congestion hour’ di waktu pagi dan petang semasa orang ramai sibuk untuk pergi bekerja dan menghantar anak-anak sekolah dan demikianlah jua semasa balik ke rumah di sebelah petang.

“Ini adalah di antara perkara yang diambil kira jua dalam memikirkan perancangan bagi pembinaan-pembinaan, sama ada menambah jalan-jalan persimpangan yang baharu,” demikian ujar Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid semasa menjawab soalan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman pada hari ketiga Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026, di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Yang Berhormat berkata, berdasarkan pemantauan yang dijalankan ini, kesesakan jalan raya lazimnya berlaku pada waktu puncak, (peak hours) terutamanya pada hari-hari bekerja dan hari-hari persekolahan, dan perkara ini bukanlah satu perkara yang berlaku di sepanjang masa kerana selepas waktu tersebut, aliran trafik kembali normal.

“Namun, kesesakan yang dilihat yang dinilai jua adalah menjadi di antara perkara yang dilihat yang boleh menimbulkan bahaya-bahaya seperti berlakunya kemalangan atau apabila kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan juga dilaksanakan pada waktu-waktu kesesakan yang disebutkan tadi.

“Dengan mengambil perkiraan segala pertimbangan dan fakta ini, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Jalan Raya, ada terdapat beberapa strategi untuk meningkatkan kapasiti serta memperbaiki aliran trafik melalui kerja-kerja pelebaran jalan-jalan yang terlibat dan juga termasuk pembinaan di jambatan, menaik taraf jalan-jalan persimpangan seperti yang telah dibuat permohonan dan peruntukan yang diluluskan di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 ini,” ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat juga mengongsikan, terdapat beberapa jalan yang dibuat perancangan untuk dilebarkan dan beberapa peningkatan-peningkatan yang lain seperti penyiapan Jejambat Menyeberangi Jalan Utama Mentiri dan Jalan Muara dan Pembinaan Jalan Penghubung Tanah Jambu, yang telah siap dan dilancarkan pada bulan Ogos tahun 2025.

“Selain itu, pembinaan jejambat menyeberangi Lebuh Raya Muara Tutong berdekatan Tapak Perindustrian Tanjong Kajar, yang dijangka siap pada penghujung tahun 2026.

“Dan selainnya ialah antara projek yang di dalam proses tawaran pada masa ini, ialah pertama, Melebarkan Jalan Muara di antara Jalan Aman ke Persimpangan Salambigar.

“Kedua, ialah melebarkan Lebuh Raya Tungku dari Jejambat Rimba ke Jejambat Estate Gadong. Ketiga, ialah menaik taraf persimpangan jalan dengan memasang lampu isyarat baru dan melebarkan jalan berdekatan dengan persimpangan jalan di beberapa Lokasi seperti Jalan 10 RPN Lambak dan persimpangan baharu ke RPN Mengkubau; dan keempat, menaik taraf Jalan Tutong melibatkan kerja-kerja melebarkan jalan dan penambahbaikan persimpangan,” ujar Yang Berhormat.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI