BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Mac. – Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Kementerian Pembangunan telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi memudahkan dan memperjelaskan proses kelulusan pembinaan rumah, termasuk pelan rumah piawai, kelulusan berperingkat dan bimbingan teknikal awal.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menjelaskan, di antara inisiatif tersebut termasuk menganjurkan sesi bersemuka ‘one-to-one’ bersama dengan Qualified Persons (QP), One Kick Submission Clinic sebagai satu platform perbincangan awal sebelum permohonan rasmi dihadapkan oleh pemohon-pemohon kemajuan melalui sistem OneBiz.
“Ini adalah bertujuan untuk membantu pihak QP memahami keperluan teknikal dan dokumentasi yang dikehendaki untuk dihadapkan semasa menghadapkan permohonan dengan tujuan untuk mengurangkan masalah yang sering didapati apabila pihak QP tidak menghadapkan permohonan dengan lengkap seperti yang dikehendaki, kerana dengan adanya dokumentasi yang lengkap akan memudahkan pihak ABCi mempercepatkan proses semakan permohonan kemajuan,” ujar Yang Berhormat Menteri Pembangunan semasa menjawab soalan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas pada hari ketiga Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026, di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Di samping itu, tambah Yang Berhormat, pihak ABCi juga ada memberikan usaha-usaha pembarigaan dan penjelasan maklumat kepada pihak QP dan orang ramai melalui beberapa saluran antaranya ialah termasuk platform media sosial dan laman sesawang rasmi jabatan.
Yang Berhormat berkata, ini adalah bertujuan untuk memperjelaskan tatacara keperluan dan syarat-syarat kelulusan yang perlu dipatuhi. Inisiatif terkini yang dilaksanakan adalah pembarigaan menerusi program wawancara segmen MOD Dialogue dan Rampai Pagi RTB yang diadakan pada 28 Januari 2026, iaitu berkenaan dengan proses kemajuan bangunan dan penguatkuasaan ABCi.
Menurut Yang Berhormat lagi, yuran perkhidmatan dan kos-kos lain yang lazimnya dikenakan adalah atas perjanjian di antara pemohon iaitu pemilik-pemilik kemajuan perumahan ataupun pemilik rumah yang sendiri yang akan dibangunkan di antara pemilik rumah dengan QP, merangkumi Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan berdasarkan keperluan perjanjian yang dipersetujui di antara mereka dengan pemilik selaku klien. Keperluan kos lain termasuklah kos bagi lantikan pembina termasuk penyelaras keselamatan di tapak bina dan keperluan kos yang lain yang berkaitan.
“Daripada data yang diperoleh oleh kementerian melalui Jabatan ABCi ialah permohonan rumah persendirian pada misalannya yang berharga BND250,000 kos pembinaan, jadi daripada kos tersebut kos perkhidmatan QP ani dilihat adalah di antara 3.5 peratus ke 6.5 peratus iaitu di antara anggaran BND8,750 dan sehingga ke BND16,250 ani. Ani adalah bagi yuran profesional QP yang dikenakan. Yang ‘kitani’ ketahui jua secara umumnya, kos yang dikenakan oleh QP ini lazimnya yang diguna pakai di antara BND8,000 sehingga ke BND10,000 bagi pembinaan sesebuah rumah yang menggunakan khidmat QP ini,” terang Yang Berhormat.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


