14.03.26 Komited memperkukuh ekosistem sukan melalui pembangunan atlet elit

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Mac. – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) komited memperkukuh ekosistem sukan melalui pembangunan atlet elit, penglibatan masyarakat serta pengukuhan kapasiti di peringkat serantau dan antarabangsa.

Usaha ini adalah selari dengan aspirasi untuk melahirkan negara sukan yang gemilang yang bukan sahaja diukur melalui kutipan pingat malah melalui kualiti hidup rakyat yang sihat dan berdaya tahan selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad menggariskan mengenai perkara itu ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, juga Penghulu Mukim Ukong, Daerah Tutong; dan Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, juga Ketua Kampung Belimbing, Daerah Brunei dan Muara tentang hala tuju pembangunan sukan negara, penganjuran sukan antarabangsa serta pembangunan infrastruktur dan atlet pada hari ketiga Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Jelas Yang Berhormat Menteri KKBS lagi, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Negara Brunei Darussalam (NBD) telah membuktikan keupayaan dalam penganjuran kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa. Antaranya termasuklah Kejohanan Karate Asia Tenggara Ke-12, SEAKF, Kejohanan Fencing Borneo Ke-2, Kejohanan Wushu Remaja Dunia Ke-9, The First Brunei Half-Marathon serta ASEAN School Games Ke-14 anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama KKBS yang telah membuktikan keupayaan negara sebagai tuan rumah yang berwibawa melalui pendekatan senegara.

Pengalaman ini tambah Yang Berhormat Dato menjadi asas penting untuk negara melangkah ke hadapan dalam menganjurkan kejohanan yang lebih berskala besar. Walau bagaimanapun, penganjuran sukan bertaraf dunia pada masa kini menuntut piawaian yang semakin kompleks selain faktor kesiapsiagaan atlet, aspek infrastruktur perlu memenuhi spesifikasi teknikal badan sukan antarabangsa termasuklah sistem pencahayaan, siaran bertaraf tinggi, kemudahan pemulihan atlet, akses mesra orang kelainan upaya serta integrasi teknologi digital bagi pengurusan pertandingan dan penyiaran langsung.

“Sehubungan dengan itu, KKBS melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya sedang melaksanakan penaiktarafan infrastruktur sukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) secara berperingkat-peringkat.

“Langkah ini melibatkan menaik taraf Kompleks Sukan Mumong, Pusat Tenis Kebangsaan serta kemudahan utama lain termasuk Kolam Renang Kebangsaan, Boling Padang dan Gelanggang Petanque.

“Usaha ini bertujuan bagi memastikan kemudahan fasiliti sukan negara memenuhi standard antarabangsa dan spesifikasi teknikal bagi menganjurkan kejohanan yang berskala besar di masa akan datang.

“Bagi memastikan kejayaan di gelanggang antarabangsa, kementerian terus memperkukuhkan laluan pembangunan atlet jangka panjang atau apa yang dikenali sebagai ‘long-term athlete development’,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

Yang Berhormat Dato seterusnya berkata, kerjasama erat dengan persatuan sukan kebangsaan, sektor pendidikan dan sektor swasta akan membolehkan program pengenalpastian bakat dilaksanakan dari peringkat akar umbi. Para atlet elit pula diberikan sokongan sains sukan, iaitu perkhidmatan sains sukan yang komprohensif melalui Sports Medicine and Research Centre, (SMRC) yang mana merangkumi aspek kecerdasan, pemakanan dan persediaan mental.

Pendedahan kepada pertandingan luar negara, latihan berprestasi tinggi, serta skim bantuan seperti Elite Athletes Programme ujar Yang Berhormat Dato akan terus diperkasa. Manakala bagi sukan berpasukan, pengukuhan liga domestik seperti bola sepak, futsal, sepak takraw akan menjadi platform utama dalam memastikan kesinambungan bakat yang kompetitif untuk mewakili negara di persada antarabangsa. Di samping pembangunan atlet elit, kementerian juga turut memberi penekanan strategik kepada penglibatan masyarakat melalui pendekatan Whole of Nation.

“Usaha ini bukan sekadar untuk meningkatkan statistik penyertaan fizikal malah bertujuan untuk memupuk impak sosial yang mendalam bagi membina rakyat yang berdisiplin dan budaya gaya hidup sihat.

“Prinsip, ‘inclusivity’ dan ‘accessibility’ akan terus menjadi teras utama agar tiada golongan masyarakat yang terpinggir,” tegas Yang Berhormat.

Sementara itu, ujar Yang Berhormat juga menjelaskan sukan komuniti di peringkat kampung dan mukim termasuk program khusus bagi wanita, warga emas dan orang kelainan upaya, berfungsi sebagai agen perpaduan yang menyatukan masyarakat serta mengukuhkan kesejahteraan mental. Inisiatif untuk menghidupkan semula Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam juga sedang dalam penelitian untuk dijadikan platform pembangunan bakat dan penglibatan secara menyeluruh secara lebih meluas dan seimbang.

Secara kesimpulan terang ujar Yang Berhormat Dato, penganjuran sukan dan pembangunan atlet adalah dua elemen yang saling melengkapi. Kapasiti negara sebagai tuan rumah yang berwibawa akan diperkukuhkan lagi melalui kerjasama antarabangsa dalam bidang teknikal, pensijilan jurulatih dan latihan pegawai.

“Dengan sokongan padu daripada agensi kerajaan, sektor swasta, persatuan-persatuan sukan dan seluruh lapisan masyarakat, NBD akan terus maju dalam mempertingkatkan prestasi atlet serta mengukuhkan kedudukan negara dipersada sukan antarabangsa,” ujar Yang Berhormat Dato lagi.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI