BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 13 Mac. – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) merupakan instrumen permesyuaratan negara di zaman modennya yang kekal dengan sifat kebruneiannya yang Islami, kekal dan ‘antik bijaksana’.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman menjelaskan, ia telah terbukti berjasa menyelamatkan negara walaupun sejarah wujud wilayahnya sekarang ibarat tinggal ‘seampap’ jari.
Namun jelas Yang Berhormat, ia telah selamat dengan ‘survival’nya dan rakyat telah tetap terpeduli serta merasakan selamat bernaung di bawah payung negara berpemerintahan beraja yang pemedulian akan susah senang rakyatnya.
Perkara demikian dijelaskan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa mengemukakan Usul Menjunjung Kasih pada hari kedua Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat menjelaskan, sesungguhnya corak kepimpinan yang pemedulian sedemikian adalah menepati kriteria kepimpinan yang diredai oleh Allah Subhanahu Wata’ala sesuai dengan firman-Nya yang memaparkan contoh kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagaimana yang difirmankan dalam ayat 128, Surah At-Taubah yang bermaksud “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri iaitu Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu yang sangat tamak, inginkan kebaikan bagi kamu dan ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayang kepada orang-orang yang beriman”.
Menurut Yang Berhormat dalam konteks sebenar ayat itu ialah ayat mengenai corak kepimpinan. Maka dengan kepimpinan yang berkepemedulian rakyat sedemikian itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, negara perlu sentiasa peka dengan pergolakan geopolitik antarabangsa dan kesannya terhadap cabaran ekonomi global.
“Menurut baginda, negara kita juga tidak terlepas dari menerima kesan cabaran ini, lebih-lebih lagi jika kesan itu menjejaskan harga komoditi tenaga yang menjadi sumber pendapatan negara.
“Lalu baginda seterusnya menitahkan ‘di sinilah Ahli-ahli MMN perlu berganding bahu dan bekerjasama untuk menangani sebarang ketidakpastian yang timbul’,” ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menekankan, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk tidak setakat berwaspada bahkan seperti yang dititahkan baginda bahawa baginda mahu melihat tindakan pelaksanaan yang agresif serta ketahanan dalam merangka dasar yang strategi pembangunan negara khasnya ke arah matlamat Wawasan Brunei 2035 termasuk usaha berterusan dalam menerokai pelaburan strategik dalam sektor-sektor baharu yang boleh merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dan usaha mengukuhkan fiskal kerajaan.
Bagi sikap dan pendekatan yang sedemikian itu, Yang Berhormat menaruh keyakinan bahawa kita terutama sekali kerajaan, tidak akan sampai dilihat memilih pendekatan agresif yang semata-mata berharap untuk kejayaan dalam makna sukses yang berisiko jangka panjang kepada negara.
Yang Berhormat yakin bahawa kerajaan kita yang berpemerintahan beraja seperti yang terbukti dan diyakini sentiasa pemedulian terhadap rakyatnya dan untung nasib negara dalam jangka panjang tidak mudah goyang, goncang dengan projeksi gelap mendung ekonomi dan kewangan negara.
“Kaola menaruh kepercayaan kepada kita semua di sini, generasi pemangkin dan generasi muda sekarang yang ditakdirkan berperanan masing-masing untuk menjayakan negara, memaju dan mengembangkannya, semua sektornya, yang berat dan yang ringan, menurut bersaiz kapasitas dan kapasiti masing-masing akan sentiasa berusaha dalam bentuk penuh bersemangat meneruskan usaha ikhtiar menjayakan taklif atau tasking yang memajukan negara terutama ke arah Wawasan Brunei 2035 selepasnya itu,” ujar Yang Berhormat.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


