Bandar Seri Begawan, Rabu, 10 Jun 2026 – Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara hari ini telah menerima kunjungan hormat secara berasingan daripada Tuan Yang Terutama Ramu Abbagani, Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam; Tuan Yang Terutama Weert Borner, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Jerman ke Negara Brunei Darussalam; dan Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Viet Nam ke Negara Brunei Darussalam. Majlis diadakan di Bangunan Dewan Majlis.
Kunjungan hormat bersama Tuan Yang Terutama Ramu Abbagani, Pesuruhjaya Tinggi India antara lain menumpukan kepada usaha untuk mempertingkatkan hubungan kerjasama bagi menyokong pencapaian Wawasan Brunei 2035 melalui peningkatan aktiviti perniagaan, pelaburan dan pengintegrasian teknologi khususnya dalam sektor minyak dan gas. Kedua-dua pihak turut menyentuh mengenai pengukuhan hubungan antara badan legislatif kedua negeri serta menekankan kepentingan hubungan yang erat dan sudah terjalin lama antara kedua-dua buah negara.
Sementara itu, semasa kunjungan hormat bersama Tuan Yang Terutama Weert Borner, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Jerman ke Negara Brunei Darussalam, perbincangan turut menyentuh mengenai pengukuhan kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor strategik antaranya teknologi dan pendidikan. Kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan mengenai perkara yang berkepentingan di peringkat serantau dan global, di samping menyatakan komitmen untuk terus memperkukuhkan hubungan kerjasama antara Majlis Mesyuarat Negara dan German Bundestag.
Seterusnya, semasa kunjungan hormat bersama Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Viet Nam ke Negara Brunei Darussalam, kedua-dua pihak menzahirkan penghargaan atas pencapaian yang telah terhasil sejak tertubuhnya hubungan diplomatik sejak tahun 1992. Perbincangan telah memfokuskan kepada kerjasama erat antara Majlis Mesyuarart Negara dan Dewan Negara Vietnam termasuk mengimbas Kembali lawatan rasmi Naib Pengerusi Dewan Negara Vietnam pada tahun 2024.
Hadir bersama semasa kunjungan-kunjungan hormat tersebut ialah Yang Mulia Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah, Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet & Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara.




