28.03.26 Persidangan MMN ditangguhkan setelah 11 hari bersidang

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 Mac. – Pada hari ke-11 Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof mencadangkan bagi Majlis ini mengusulkan ketetapan oleh badan-badan sosial menurut Perkara 83 (7) dari Perlembangaan Negara Brunei Darussalam, bahawa tiap-tiap perintah yang dibuat di bawah Perkara 83 (3) dari Perlembangaan Negara Brunei Darussalam adalah masing-masing mulai dari tarikh perintah-perintah dibuat diluluskan.

Perkara ini ujar Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, adalah merujuk kepada tiga perintah-perintah yang terdapat dalam Kertas Majlis Mesyuarat Negara Bilangan 1/2026.

Setelah itu, Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib mempersilakan Ahli-ahli Yang Berhormat untuk menyokong cadangan itu.

Usul itu disokong sepenuhnya oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.

Setelah mendapat sokongan daripada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, undi untuk usul diluluskan dibukakan dan semua Ahli Yang Berhormat bersetuju akan cadangan ini.

Usul ketetapan bagi perintah-perintah telah diluluskan di bawah Perkara 83, (3) dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya menyatakan mengikut Peraturan Mesyuarat 35 (1), Yang Berhormat memohon dan mencadangkan bahawa Mesyuarat Majlis Mesyuarat Negara sekarang ini ditangguhkan, memandangkan semua Urusan Mesyuarat telah selesai dan seterusnya mencadangkan bagi Majlis Mesyuarat Negara ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.

Setelah itu, Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman mempersilakan Ahli-ahli Yang Berhormat untuk menyokong cadangan itu.

Usul itu disokong sepenuhnya oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI