BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 Mac. – Sistem perlindungan bagi anak yang tidak sah taraf yang utama ialah dikategorikan atau diiktiraf sebagai anak yatim mengikut hukum syarak dan mengikut undang-undang yang terpakai di Negara Brunei Darussalam sepertimana dalam Akta Tabung Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk anak-anak yatim.
Dengan demikian, ia dapat perlindungan sosial kebajikan yang sewajarnya di mana kalau ia dalam kalangan asnaf zakat, dirinya dan penjaganya atau ibunya, maka ia termasuk sebagai asnaf zakat yang berhak menerima agihan zakat untuk makan, minum, wang saku sekolah bahkan dalam keadaan tertentu di mana anak yatim sedemikian yang maju pendidikannya menerima sumbangan biasiswa sehingga ke peringkat pengajian tinggi dalam dan luar negeri termasuk dari program yang dinamakan BIBD ALAF selain daripada program agihan zakat.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam.
Pada hari ke-11 Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya menyatakan dari segi aspek sistem perlindungan keselamatan, dari diabaikan atau dilayan buruk dan penganiayaan pula ada diperuntukkan dalam undang-undang yang berkuatkuasa seperti Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Penggal 219), Akta Pengangkatan Kanak-kanak dalam Islam (Penggal 2006).
“Dengan itu, anak tak sah taraf adalah mendapat perlindungan dari segi undang-undang daripada penganiayaan, pengaibaian dan dari layanan buruk maka sedemikian itu juga ia mendapat perlindungan berupa jaminan sosial kebajikannya yang ditangani dan disantuni oleh badan-badan sosial kebajikan selain oleh pihak kerajaan seperti JUZWAB dan JAPEM.
“Maka dengan itu memungkinkannya Pehin Yang Di-Pertua terlindung juga dari apa yang disebut oleh Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam dalam soalannya itu terlindung dari stigma masyarakat dan pengabaian,” jelas Yang Berhormat.
Terdahulu, Yang Berhormat mengongsikan bahawa istilah ‘anak tidak sah taraf’ digunakan menggantikan ‘anak luar nikah’, merangkumi tiga kategori utama iaitu Kategori K180 yakni anak lahir kurang 180 hari iaitu ibu bapa bernikah tapi anak lahir kurang 180 hari setelah pernikahan; Kategori yang kedua ialah dinamakan tidak diperoleh iaitu anak lahir tetapi ibunya tidak berkahwin semasa kelahiran dan Kategori yang ketiga ialah anak laqit iaitu anak yang tidak diketahui ibu bapa disebabkan anak tersebut kena buang, yang orang ‘kitani’ di Brunei menyebut sebagai anak pungut.
Statistik menunjukkan penurunan kes daripada 378 (2019) kepada 230 (2025) serta kes jenayah berkaitan daripada 19 (2023) kepada 10 (2025), jelas Yang Berhormat.
Ujar Yang Berhormat, Kementerian Hal Ehwal Ugama sangat bersyukur, isu ini sedang ditangani di peringkat nasional dalam Majlis Kebangsaan Isu-Isu Sosial MKIS iaitu platform yang melibatkan beberapa buah kementerian dan pihak-pihak agensi yang berkepentingan. Kementerian Hal Ehwal Ugama adalah menjadi ahli peringkat menteri di sementara peringkat pegawai-pegawai kanan diketuai oleh SUT bagi peringkat jawatankuasa kerja.
Oleh yang demikian, Yang Berhormat sukacita menyatakan bahawa Kementerian Hal Ehwal Ugama lebih melihat keutamaan menangani isu ini bukanlah dengan membuat kajian dan menunggu hasil kajian mengenai punca utamanya.
“Dalam keadaan itulah, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Kementerian Hal Ehwal Ugama bertindak untuk membendungnya. Ya, membendungnya supaya tidak menjadi suatu fenomena atau trend biasa dan norma yang lumrah di kalangan melahirkan masyarakat anak luar dengan pernikahan menurut sebagaimana yang disyariatkan dan mengikut sebagaimana yang telah pun diundang-undangkan, undang-undang negara yakni menjadi sebahagian daripada undang-undang yang berkuatkuasa.
“Kerana itu, selain menerusi kegiatan dakwah dan saluran pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama lebih fokus kepada usaha dan meningkatkan kesedaran dengan berbagai program mengukuhkan akidah keimanan dan akhlak moral digandingi dengan usaha usaha pencegahan menurut undang-undang,” ujar Yang Berhormat.
Program ini, tambah Yang Berhormat, dilaksanakan secara berhemah dalam format dan pendekatan yang beraneka sesuai dengan situasi dan kondisi kalangan target audiensnya iaitu: Pertama, dengan program pencegahan dan kesedaran di institusi pendidikan dan komuniti. Pada tahun 2025 sahaja, Program Menangani Jenayah Syariah ini diadakan sebanyak 25 sesi dengan jumlah bilangan peserta dicatitkan seramai lebih 3 ribu iaitu 3052 orang.
Program ini bertujuan bagi meningkatkan kefahaman dan seterusnya kesedaran bahkan keinsafan jika sudah terlanjur berbuat dosa untuk segera bertaubat memohon ampun kepada Allah Subhanahu Wata’ala yang memang bersifat Maha Pengampun dengan tekad tidak akan mengulangnya dan seterusnya berazam memperbaiki corak dan cara hidup ke hadapan.
Dalam masa yang sama, program ini juga memperingatkan audiensnya akan implikasi tindakan undang-undang iaitu Undang-Undang Jenayah Syariah khasnya atas kesalahan hubungan intim lelaki perempuan di luar pernikahan, terang Yang Berhormat.
Pemantauan dan penguatkuasaan berterusan secara rondaan ataupun operasi penguatkuasaan termasuklah di tempat-tempat dan lokasi berisiko yang digunakan untuk perbuatan tidak bermoral, menyalahi ajaran ugama dan berlawanan dengan undang-undang juga dilaksanakan.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


