BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 Mac. – Menurut Akta Undang-undang Keluarga Islam Penggal 217, warganegara atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam (NBD) yang hendak berkahwin sama ada di dalam NBD ataupun di luar negara hendaklah terlebih dahulu mendapatkan suatu kebenaran berkahwin daripada Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, Pembatalan dan Ruju’ Orang Islam (PPPPROI) atau 4PROI di setiap daerah di mana pemohon lazimnya bermastautin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof menekankan demikian semasa menjawab persoalan mengenai keperluan bagi mewajibkan pengesahan status permohonan bagi permohonan nikah oleh ketua kampung serta mekanisme kawalan dan penyelarasan data bagi memastikan keselarasan rekod serta maklumat antara agensi yang diajukan dari Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, juga Ketua Kampung Belimbing, Daerah Brunei dan Muara pada hari ke-11 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Tegas Yang Berhormat lagi, siasatan akan dijalankan ke atas pemohon melalui keterangan-keterangan dokumen yang diberikan dan disertakan dalam Borang 1, iaitu permohonan kebenaran berkahwin bagi lelaki atau Borang 2, iaitu permohonan kebenaran berkahwin bagi perempuan, sebelum sebarang kebenaran dikeluarkan oleh pendaftaran 4PROI.
“Antara perkara yang perlu dipastikan dalam siasatan 4PROI adalah mengenal pasti status perkahwinan pemohon sama ada bujang, beristeri atau bercerai, hidup atau mati.
“Bagi membantu siasatan, beberapa dokumen sokongan lazimnya diperlukan untuk disertakan bagi menyokong penjelasan pemohon yang dinyatakan dalam Borang 1, Borang 2 mengikut mana-mana yang berkaitan seperti sijil nikah, sijil cerai, sijil mati, surat pengesahan daripada ketua kampung mengenai tempat tinggal, permastautinan dan status pemohon dan lain-lain dokumen yang relevan, pengesahan status pemohon dari ketua kampung adalah merupakan dokumen yang dapat digunakan bagi membantu siasatan 4PROI dan bagi membantu memudahkan proses kebenaran berkahwin dikeluarkan,” jelas Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menegaskan bahawa siasatan ini adalah penting bagi memastikan tindakan seterusnya, jika misalnya pemohon masih mempunyai isteri, pemohon akan dinasihatkan untuk terlebih dahulu memohon kebenaran berpoligami kepada Mahkamah Syariah.
Apabila siasatan telah dibuat dan pendaftar 4PROI berpuas hati dengan permohonan dan keterangan-keterangan yang diberikan tambah Yang Berhormat, maka baharulah pendaftar 4PROI boleh mengeluarkan kebenaran untuk pemohon berkahwin.
Jelas Yang Berhormat lagi, Bab 16 dari Akta Undang-undang Keluarga Islam Penggal 217 menyatakan, tertakluk kepada Bab 17 pendaftar apabila berpuas hati tentang kesahihan perkara-perkara yang disebut dalam permohonan itu tentang sahnya perkahwinan yang ditiadakan itu dan jika lelaki atau sudah berkahwin bahawa kesahihan yang disebutkan dalam Bab 23(3) telah diberi hendaklah setelah bayaran ditetapkan untuk dibayar bagi memberikan kebenaran dalam borang yang ditetapkan kepada pemohon untuk berkahwin.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


