BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 Mac. – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad berkata rancangan projek pembinaan Bangunan Komplek Orang Kelainan Upaya (OKU) telah dimulakan sejak tahun 2011 sebagai inisiatif strategik untuk menyediakan kemudahan berpusat bagi Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs) yang mewakili dan menyokong OKU di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Jelas Yang Berhormat sejak itu, beberapa siri perbincangan dan penyelarasan telah dilaksanakan melibatkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) bagi meneliti aspek perancangan pelan bangunan, keperluan teknikal, keperluan fasiliti, modal operasi serta implikasi kewangan projek.
Yang Berhormat Menteri kebudayaan, Belia dan Sukan menyatakan perkara itu semasa menjawab soalan mengenai status pembinaan bangunan bagi Pusat Orang Kelainan Upaya daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin pada hari ke-11 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Tambah Yang Berhormat lagi, bagi memperkukuh perancangan pembangunan ini, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, KKBS telah mengadakan beberapa lawatan dan kajian ke luar negara bagi meneliti serta bertukar pandangan mengenai amalan terbaik yang dilaksanakan oleh negara lain.
“Dapatan tersebut dijadikan rujukan dalam rangka reka bentuk yang inklusif, modal operasi, pengurusan fasiliti serta pendekatan pemerkasaan komuniti OKU secara bersepadu.
“Apa yang penting kaola tekankan di sini, kita juga memperbelajari lesson learn daripada negara-negara lain, mungkin dalam tahun 2011 itu belum ada banyak lesson learn tetapi sehingga kini 2025-2026, banyak lesson learn yang boleh kitani pertimbangkan dan ambil kira.
“Jadi dari sudut tadbir urus, KKBS telah menubuhkan satu projek team khusus pada 30 Januari 2024 yang bertanggungjawab dalam meneliti objektif strategik, skop pembangunan, modal pengoperasian serta keberlanjutan jangka panjang kompleks OKU,” ujar Yang Berhormat.
Menurut Yang Berhormat lagi, pasukan tersebut telah mengadakan beberapa siri perbincangan bagi menyediakan laporan, rancangan dan strategi jangka masa panjang yang merangkumi komponen pembangunan fizikal, pengurusan, pembiayaan serta impak sosial yang disasarkan.
Jadi pada dasarnya tambah Yang Berhormat, mana-mana projek kerajaan yang berukuran seperti projek ini memang memerlukan penelitian yang terperinci dan lebih penting lagi melihat kepada kos dan benefit analysis dan juga tertakluk kepada perubahan ekosistem pada masa ini. Jadi apa persiapan-persiapan yang pada tahun 2011 itu sudah setentunya berubah kerana ekosistem yang ada pada masa ini, tidak akan sama dengan ekosistem sewaktu 2011 yang lalu.
KKBS tegas Yang Berhormat, komited untuk memastikan projek ini dilaksanakan dengan perancangan yang teliti, tadbir urus yang berkesan serta kerjasama padu bersama semua pihak berkepentingan agar manfaatnya, net benefitnya itu dapat dinikmati secara menyeluruh dan berpanjangan oleh komuniti OKU di NBD.
“Ini selaras dengan matlamat menjadikannya sebagai satu pelaburan sosial yang berimpak tinggi yang memberikan nilai terbaik bagi apa jua perbelanjaan kerajaan ke arah matlamat ini,” ujar Yang Berhormat lagi.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


