28.03.26 Pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi meningkatkan tahap sara diri beras negara

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 Mac. – Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menyatakan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan tahap sara diri beras negara secara berperingkat.

Menjawab kepada soalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim pada hari ke-11 Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan menjelaskan berdasarkan perancangan semasa, pengeluaran beras tempatan dijangka meningkat daripada sekitar 2,594 ‘metric ton’ pada tahun 2025 kepada kira-kira 4 ribu tan menjelang tahun 2030.

Seiring dengan peningkatan ini, tambah Yang Berhormat, kadar sara diri beras negara disasarkan meningkat daripada sekitar 8.5 peratus pada masa ini kepada kira-kira 10 ke 12 peratus dalam masa 5 tahun akan datang.

“Bagi mencapai sasaran ini, kementerian memberi tumpuan kepada beberapa pendekatan utama. Pertama, ialah meningkatkan keluaran hasil padi di kawasan yang tidak mempunyai sistem pengairan dan saliran, ‘that is not irrigated farm’, ‘field’.

“Setakat ini, pengeluaran fokus peningkatan produktiviti hanya bertumpu kepada kawasan ladang yang mempunyai sistem pengairan. Memandangkan hampir 50 peratus keluasan kawasan padi tidak mempunyai sistem pengairan ‘non-irrigated’ disebabkan oleh sebab-sebab tertentu seperti jauh sumber air dan juga kawasan yang tidak rata atau berbukit. Usaha untuk meningkatkan hasil keluaran padi juga sekarang ditumpukan kepada kawasan ‘non-irrigated’,” ujar Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat, pada masa ini melalui kerjasama dengan beberapa agensi dan institusi luar negara ‘trail’ menggunakan padi ‘hybrid’ yang sesuai ditanam di kawasan ‘non-irrigated’ sedang dilaksanakan.

Kongsi Yang Berhormat, pertama, melalui kerjasama dengan Hunan Hybrid Rice Research Center, HHRRC, Republik Rakyat China yang mana kementerian telah menerima tiga jenis ‘variety hybrid’, WDR 101, 102 dan 103 bagi kawasan ‘non-irrigated’ dan masa ini musim kedua kajian kesesuaian ‘variety’ akan bermula pada luar musim 2026 ini di Daerah Temburong.

Kedua tambah Yang Berhormat, kerjasama dengan FINC-Singrow, Republik Rakyat China, tiga ‘variety’ juga sedang dalam kajian kesesuaian bagi Musim Utama 2025/2026 di Daerah Temburong jua dan penuaian dijangka akan dilaksanakan pada April 2026. Ini insyaaAllah ujian kedua akan dilaksanakan di Luar Musim 2026.

Dan ketiga, ujar Yang Berhormat, kerjasama dengan Syarikat JiaYuan Agriculture Trading Company, satu ‘variety’ Yuan 1601 akan memasuki fasa Projek Rintis pada luar musim 2026 ini dengan kawasan seluas 30 hektar di kawasan Tutong, Temburong dan Belait.

“Melalui hasil ‘trail-trail’ tersebut dijangka akan dapat meningkatkan hasil padi purata produktiviti di kawasan kawasan ‘non-irrigated’ daripada satu metrik tan sehektar setahun kepada dua ke tiga tan metrik sehektar setahun jika berjaya. Oleh itu, insyaaAllah melalui usaha mengenal pasti ‘variety’ yang sesuai bagi kawasan ‘non-irrigated’ keluaran hasil padi boleh dipertingkatkan dan menyumbang kepada peningkatan sara diri dan sekuriti makanan,” terang Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan kedua, penggunaan teknologi pertanian moden untuk meningkatkan produktiviti padi. Ini termasuk menggunakan ‘variety’ padi hasil tinggi seperti padi hybrid Yuan 158 yang baru diperkenalkan yang berpotensi menghasilkan antara lima ke tujuh tan metrik tan semusim bagi ‘irrigated farm’ kawasan ‘irrigated’.

Jika dibandingkan dengan Sembada masa ini 188 yang mana pada masa ini purata pengeluaran hanyalah tiga ke empat metik tan sehektar. Jelas Yang Berhormat, di samping itu, kajian kesesuaian ‘variety’ padi baru juga dijalankan melalui kerjasama dengan institut antarabangsa seperti International Research Institute di Manila serta rakan penyelidik dari Republik Rakyat China.

Seperti Yang Berhormat nyatakan dalam Kenyataan Menteri tempoh hari kementerian juga merancang penubuhan Hybrid Rice Research Center bagi memperkukuhkan penyelidikan dan pembangunan ‘variety’ padi yang lebih sesuai dengan keadaan tanah dan iklim Negara Brunei Darussalam.

Kementerian turut menggalakkan kerjasama dengan sektor swasta bagi meningkatkan pelaburan dalam teknologi pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran padi tempatan sekali gus memperkukuhkan keseluruhan rantaian nilai industri padi negara, tambah Yang Berhormat.

“Ketiga, ialah usaha untuk memperbaiki kesuburan tanah melalui pendekatan atau cara mampan ‘regenerative agriculture’. Tanah yang subur adalah penting kerana ‘variety’ padi berhasil tinggi tidak akan berupaya menghasilkan mencapai potensi optima jika tanah kurang subur. Antara usaha yang telah dilakasanakan untuk meningkatkan kesihatan dan kesuburan tanah adalah dengan menggunakan baja kompos seperti yang dihasilkan daripada sisa ladang seperti tinja ayam, sisa hijau dan juga sisa makanan. Usaha ini dalam masa yang sama juga mendukung ‘circular economy’ dan mengurangkan impak perubahan iklim,” ujar Yang Berhormat.

Kongsi Yang Berhormat lagi, sejak tahun 2024 sehingga kini kementerian melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dengan kerjasama Wasan Milling Company Sendirian Berhad sedang menjalankan kajian keberkesanan penggunaan pelbagai jenis baja organik keluaran tempatan bagi meningkatkan kesuburan tanah di ladang padi yang masa ini dilaksanakan di Kawasan Kemajuan Pertanian Kandol seluas 20 hektar.​

Dapatan awal tambah Yang Berhormat, yang diperoleh daripada projek ini adalah sangat menggalakkan di mana didapati nilai kemasaman tanah menurun, kesuburan tanah meningkat, hasil pengeluaran padi meningkat.

Keempat terang Yang Berhormat, meningkatkan kecekapan rantaian pengeluaran dan pemprosesan padi. Kerjasama dengan Wasan Milling Company Sendirian Berhad turut diperkukuhkan melalui penaiktarafan sistem pengurusan lepas tuai, pengisaran dan penyimpanan padi serta penggunaan teknologi pengeringan moden. Langkah ini membantu meningkatkan kualiti beras tempatan serta mengurangkan kehilangan hasil selepas tuai.

Sementara yang kelima, ujar Yang Berhormat ialah memperkukuhkan pembangunan kapasiti ladang termasuk penglibatan generasi belia. Program pembangunan kapasiti terus dilaksanakan di keempat-empat dearah melalui sekolah peladangan pengusaha padi bagi peladang meningkatkan kemahiran dalam menguruskan penanaman padi, penggunaan teknologi serta amalan terbaik bagi pertanian.

“Pendekatan ini juga membuka peluang kepada lebih ramai peladang muda untuk menceburi sektor penanaman padi sebagai bidang usaha yang berpotensi. Dalam masa yang sama, kementerian juga turut mengambil pendekatan yang realistik dalam mempelbagaikan sumber pembekalan beras negara melalui kerjasama serantau termasuk BIMP-EAGA,” tekan Yang Berhormat.

Pendekatan ini, tegas Yang Berhormat, penting bagi memastikan keselamatan bekalan beras terus terjamin memandangkan keluasan tanah yang sesuai untuk penanaman padi adalah terhad.

Secara keseluruhannya, tambah Yang Berhormat lagi, pendekatan bersepadu ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan secara berperingkat melalui penggunaan teknologi moden, penglibatan sektor swasta, serta penyertaan peladang baharu termasuk golongan belia selaras dengan usaha memperkukuhkan sumber sekuriti makanan negara dalam jangka masa yang panjang.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI