BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 Mac. – Sebagai sebahagian daripada usaha memperluas kefahaman bagi dapatan penyelidikan mengenai pembangunan wanita di Negara Brunei Darussalam (NBD), buku ringkasan eksekutif telah pun dicetak dalam dwibahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan telah pun dilancarkan baru-baru ini pada 12 Mac 2026 sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa (HWA).
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad menjelaskan demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee mengenai garis masa serta perkembangan semasa dalam usaha membangun Pelan Tindakan Wanita 2026-2030.
“Sebelum itu, diucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee kerana telah berkesudian hadir ke Majlis Sambutan HWA tersebut dan seterusnya menerima Buku Ringkasan Eksekutif berkenaan bersama-sama Ahli-ahli Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak,” ucap Yang Berhormat pada hari ke-11 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan seterusnya berkata, orang ramai bolehlah memperolehi ringkasan eksekutif tersebut di laman sesawang Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan bahawa ringkasan eksekutif ini merangkumi empat komponen utama, iaitu Latar Belakang Kajian, Bidang-bidang Fokus, Rekomendasi Dasar serta Hala Tuju ke Hadapan. Dapatan dan rekomendasi penyelidikan tersebut telah digunakan oleh Urus Setia Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga Wanita dan Kanak-kanak, untuk menyediakan draf awal Pelan Tindakan Wanita 2026-2030.
“Beberapa tindakan lanjut diperlukan melalui penyelarasan dan perundingan bersama kementerian serta agensi berkepentingan untuk memperkukuh cadangan. Hala tuju proses akan menggunakan pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation melibatkan sesi libat urus pelbagai pihak bagi pelaksanaan bersepadu, inklusif dan memberi impak yang menyeluruh.
“Sukacita kaola tekankan, sebenarnya peringkat pelaksanaan bersepadu dan inklusif atu adalah satu peringkat yang penting dan kritikal untuk menjayakan apa jua cadangan dan recommendation yang dihadapkan hasil dapatan kajian berkenaan,” kata Yang Berhormat.
Menurut Yang Berhormat lagi, pelan tindakan ini nanti akan merangkumi dasar, program dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tersendiri serta mensasarkan pulangan pelaburan jangka tempoh lima tahun selaras dengan Social Blueprint dan Wawasan Brunei 2035.
“Draf akhir akan dilaporkan kepada Majlis Kebangsaan Isu Sosial untuk pengesahan dan dijangka dimuktamadkan serta dilancarkan pada penghujung tahun ini, iaitu 2026 sebagai dokumen strategik yang akan menjadi panduan bagi mengenal pasti dasar-dasar kerajaan dan inisiatif-inisiatif senegara yang perlu diwujudkan ataupun diperbaiki dan ditambah baik bagi memperkukuh pembangunan dan pemerkasaan wanita di NBD,” ujar Yang Berhormat lagi.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


