28.03.26 Kebenaran ubah suai perlu diperoleh sebelum dilaksanakan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 Mac. – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menyatakan peraturan yang dikuatkuasakan bagi sebarang tambahan atau renovasi bangunan sama ada dalam kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) mahupun di atas tanah persendirian di luar kawasan RPN adalah dikawal di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa, Penggal 248 dan Akta Bangunan, Penggal 256.

Akta-akta ini tambah Yang Berhormat Menteri Pembangunan, memperuntukkan mana-mana kerja bangunan termasuk tambahan, ubah suai hendaklah terlebih dahulu mendapatkan perancangan daripada kebenaran Autoriti Perancang dan kebenaran bangunan dari Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan.

Dalam perkara ini kongsi Yang Berhormat, antara perkara-perkara yang diterima di Jabatan Kemajuan Perumahan Negara daripada penduduk-penduduk di sekitar RPN ialah seperti berikut.

“Pertama, tambahan-tambahan yang termasuk ke dalam tanah jiran atau tanah kerajaan; kedua ialah ‘manhole septic tank’ yang ditutupi oleh konkrit setelah tambahan bangunan dibuat dan apabila ada menerima aduan mengenai saluran ‘septic tank’ ‘ani’ tersumbat, maka ‘septic tank’ ‘ani’ inda lagi dapat diunjar, kana tutup sudah.

“Ketiga ialah rumah ataupun tambahan menghadang pemandangan jiran dan putaran angin ter’pampan’ oleh bangunan yang ditambah dan keempat ialah cucuran air hujan yang tumpah ke rumah orang sebelah,” jelas Yang Berhormat semasa menjawab soalan diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin pada hari ke-11 Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Menurut Yang Berhormat Menteri Pembangunan lagi, Pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa telah menyediakan dua garis panduan dan piawaian perancangan khusus bagi kemajuan perumahan. Ini adalah sebagai rujukan untuk pihak ‘qualified person’ dalam persediaan menghadapkan permohonan kebenaran perancangan bagi membangun bangunan rumah tambahan ataupun rumah baharu, penambahan atau renovasi bangunan.

Garis panduan ini kongsi Yang Berhormat ialah pertama, Garis Panduan dan Piawaian Perancangan bagi Kemajuan Perumahan, manakala kedua ialah Garis Panduan dan Piawaian Perancangan bagi Tambahan dan Ubahsuai Perumahan Sedia Ada dalam Skim Perumahan Negara.

“Garis Panduan ini memberikan butiran atau ‘detail parameter’ tertentu untuk dipatuhi seperti jarak anjakan bangunan, ‘building line’, keluasan tambahan, keluasan akses, keperluan infra serta aspek keselamatan yang mana bertujuan untuk memastikan persekitaran kemajuan yang teratur, harmoni dan selamat bagi menjana kesejahteraan komuniti yang menyeluruh di kawasan perumahan,” terang Yang Berhormat.

Tegas Yang Berhormat, dalam memastikan proses mendapatkan kebenaran yang teratur dalam masa yang ditetapkan, TPOR, orang ramai adalah diperlukan untuk melantik ‘qualified person’ yang berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan bagi menguruskan penyediaan pelan dan proses permohonan.

Pelantikan ‘qualified person’ ini tekan Yang Berhormat lagi, adalah penting dalam memastikan pelan yang dihadapkan mematuhi kehendak teknikal dan perundangan yang berkuatkuasa bagi mengelakkan ketidakpatuhan atau tindakan penguatkuasaan di kemudian hari.

Langkah ini dapat membantu memastikan kerja-kerja dilaksanakan dengan selamat dan berkualiti di samping melindungi kepentingan pemilik rumah serta menjaga kesejahteraan dan keharmonian kejiranan, terang Yang Berhormat.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI