28.03.26 Memastikan warga emas jalani kehidupan sihat, bermaruah, produktif

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 Mac. – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad ingin mengingatkan kepada semua bahawa dalam ajaran Islam adalah kewajipan seseorang anak untuk berbakti kepada ibu bapa serta memelihara kebajikan mereka.

Selain itu, tambah Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, ia juga merupakan amanah moral yang menjadi teras institusi kekeluargaan di Negara Brunei Darussalam.

“Warga emas adalah insan yang telah banyak berkorban dan menyumbang kepada pembangunan keluarga dan negara. Justeru, mereka sewajarnya dipelihara dengan penuh hormat, kesabaran dan kasih sayang serta diberikan perlindungan yang berterusan oleh ahli keluarga sendiri,” ujar Yang Berhormat semasa menjawap soalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam pada hari ke-11 Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Menurut Yang Berhormat, seiring dengan itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) mengambil berat terhadap perlindungan dan kesejahteraan warga emas, khususnya dalam konteks peningkatan jumlah warga emas yang kini mencecah kira-kira 10.8 peratus daripada jumlah penduduk.

Komitmen ini, jelas Yang Berhormat, dizahirkan melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Warga Emas 2023-2030 ataupun ‘Successful Ageing’ yang menggariskan pendekatan menyeluruh dan bersepadu bagi memastikan warga emas dapat menjalani kehidupan yang sihat, bermaruah dan produktif.

Pelan tindakan ini berpaksikan konsep ‘successful ageing’ serta dilaksanakan melalui pendekatan Whole Of Nation dengan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi terang Yang Berhormat lagi.

“Antara objek utamanya termasuk memperkukuh urus tadbir, mentransformasi masyarakat ke arah penuaan sihat dan inklusif serta memperkukuh perkhidmatan menyeluruh melalui pendekatan bersepadu. Dari sudut perlindungan sosial, kerajaan telah memperkukuh Akta Pencen Umur Tua dan Elaun Kurang Upaya melalui pindaan yang memperkenalkan peruntukan Elaun Penyedia Penjagaan. Peruntukan ini bertujuan untuk menyokong dan mengiktiraf peranan penjaga,” kongsi Yang Berhormat.

Langkah ini tambah Yang Berhormat, mencerminkan pendekatan yang bukan sahaja memberi bantuan kewangan, malah ekosistem penjagaan memperkukuh berasaskan institusi keluarga.

Berhubung cadangan untuk memperkukuhkan perlindungan kerangka undang-undang serta meletakkan liabiliti penjagaan dan kos rawatan ke atas ahli keluarga, jelas Yang Berhormat lagi, perkara ini sudah setentunya akan diteliti secara menyeluruh dengan lebih dalam, selaras dengan objektif satu pelan tindakan warga emas iaitu memperkukuh urus tadbir bagi menggalakkan penuaan sihat dan berjaya.

Terang Yang Berhormat, dalam mempertimbang perkara ini, keseimbangan perlu dicapai antara penguatkuasaan tanggungjawab melalui perundangan dan pengukuhan nilai kekeluargaan secara berhemah, agar tidak menjejaskan keharmonian institusi keluarga.

“Pada masa yang sama, tumpuan semasa adalah memperkukuh kesedaran. Kesedaran dan pendidikan masyarakat mengenai tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa, meningkatkan mekanisme pemantauan kes pengabaian atau penderaan warga emas serta memperluas sokongan komuniti dan perkhidmatan bersepadu.

“Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan terus meneliti keperluan pengukuhan dari semasa ke semasa bersama agensi-agensi berkepentingan di bawah pendekatan Whole Of Government bagi memastikan kesejahteraan warga emas sentiasa terpelihara dalam suasana yang penuh hormat, penuh ‘dignity’, maruah, ihsan dan tanggungjawab bersama,” ujar Yang Berhormat.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI