28.03.26 Agripreneur muda inovatif perkukuh keterjaminan makanan, ekonomi negara

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 Mac. – Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) sememangnya mengambil perhatian serius terhadap isu kelangsungan pengusaha pertanian khususnya apabila sebahagian pengusaha sedia ada semakin berusia dan penglibatan generasi pelapis masih terhad.

Menurut Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, setakat ini jumlah pengusaha yang berkecimpung dalam industri pertanian perikanan adalah sebanyak lebih kurang 7,000 pengusaha, lebih kurang 100 pengusaha dari keseluruhan jumlah tersebut adalah golongan dari belia.

“Isu ini bukan sahaja melibatkan kesinambungan perusahaan tetapi juga berkait rapat dengan risiko kehilangan kapasiti pengeluaran tempatan sekiranya tidak ditangani dengan lebih teratur,” jelas Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan semasa menjawab soalan yang diutarakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lau How Teck pada hari ke-11 Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Sehubungan dengan itu, kongsi Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, pendekatan kementerian adalah berlandaskan kepada beberapa strategi utama.

Pertama, ujar Yang Berhormat, ialah memperkukuhkan ekosistem sokongan bagi memudah cara kemasukan pengusaha baharu. Kementerian menyediakan peluang kepada belia dan graduan yang berminat melalui penawaran tapak pertanian di bawah inisiatif Projek Rintis dan seterusnya projek pembesaran tapak di samping bekerjasama dengan institusi kewangan bagi menyediakan kemudahan pembiayaan yang lebih mesra kepada pengusaha muda. Dengan adanya penawaran Projek Rintis ini proses untuk mendapatkan tapak pertanian bagi pengusaha baharu adalah cepat dan mudah. Lazimnya, tapak yang ditawarkan adalah sekurang-kurangnya dua hektar tertakluk kepada jenis komidi yang akan diusahakan.

Tambah Yang Berhormat, kedua, ialah meningkatkan daya tarikan sektor pertanian melalui penerapan teknologi moden. Penggunaan pendekatan pertanian pintar (‘smart farming’) seperti hidroponik, penggunaan ‘vertical’ sistem fertigasi, ‘farming’ serta teknologi dron dan automasi membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh yang berat di samping meningkatkan produktiviti ladang.

Ini jelas Yang Berhormat, termasuklah penggunaan sistem ‘fidlot’ bagi pengusaha ternakan lembu yang diguna pakai oleh Syarikat PDS Abattoir Sendirian Berhad di Batang Mitus, sistem reban tertutup dan bertingkat dalam perusahaan ternakan ayam oleh Syarikat Riza Fudhlana Farming, Ideal Multifeed Farm (B) Sendirian Berhad, Golden Chick Livestock Farm Sendirian Berhad, Soon Lee Farm and Trading Company Sendirian Berhad, Maya Breeder Farm; ‘vertical farming’ oleh Syarikat RZ Prisma Enterprise; ‘smart farming control environment’ oleh Syarikat Infinity, rumah terlindung oleh Syarikat Perusahaan Zaias, Gropoint Sendirian Berhad dan lain-lain dan penyemburan racun penggunaan ‘drone’ yang diguna pakai oleh Innovaero Sdn. Bhd.

Pendekatan ini tambah Yang Berhormat lagi, menjadikan sektor pertanian lebih menarik kepada generasi muda yang celik teknologi serta berpotensi meningkatkan kapasiti pengeluaran secara lebih efisien untuk memenuhi keperluan tempatan dan pasaran eksport.

Sementara itu, ketiga, jelas Yang Berhormat, memastikan kelangsungan operasi ladang melalui pendekatan ‘Succession Planning’. Jabatan Pertanian dan Agrimakanan turut memudah cara proses pemindahan kebenaran menduduki tapak kepada waris atau pengusaha baharu untuk memastikan operasi ladang tidak terhenti apabila pengusaha tidak lagi dapat meneruskan aktiviti mereka.

“Pendekatan ini membantu memastikan kapasiti pengeluaran sedia ada dapat dikekalkan secara berterusan. Dasar yang diwujudkan bagi memudah cara pengambilan alih syarikat daripada ibu bapa kepada anak atau waris yang masih hidup telah memberi manfaat dalam memastikan kesinambungan pengurusan serta operasi perniagaan keluarga dapat diteruskan dengan teratur.

“Melalui pelaksanaan dasar ini proses peralihan pemilikan menjadi lebih jelas dan sistematik terus sekali gus menggalakkan generasi seterusnya untuk meneruskan legasi pertanian perniagaan yang telah dibangunkan,” kongsi Yang Berhormat.

Sehingga kini tambah Yang Berhormat lagi, sekurang-kurangnya terdapat dua syarikat pengusaha yang diasaskan oleh ibu bapa telah berjaya diambil alih dan diurus oleh anak-anak mereka membuktikan bahawa dasar ini berkesan dalam menyokong kelangsungan perniagaan keluarga serta pembangunan sektor perusahaan secara berterusan.

Manakala keempat ujar Yang Berhormat, membangunkan generasi agripreneur melalui program kursus belia. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Belia Bertani yang merupakan kerjasama di antara Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Agrimakanan UNISSA dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei, sebagai inkubator bagi belia untuk memulakan dan mengumpulkan dana dan mengembangkan tapak pertambahan dan juga Program Pendedahan Belia yang memberi peluang kepada graduan dan belia untuk menceburi sektor pertanian sebagai kerjaya.

Melalui Program Pendedahan Belia ini, terang Yang Berhormat, peserta dibimbing oleh pakar daripada Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan institusi pengajian tinggi dan didedahkan kepada operasi dan juga pengurusan ladang sebenar, pengurusan kewangan dan serta tadbir urus perniagaan yang kukuh.

Kongsi Yang Berhormat, setakat ini, sebanyak 185 belia telah ikut serta dalam Program Pendedahan Belia yang telah dibukakan pada tahun 2018. Program Pendedahan Belia kali ke-11 insyaaAllah akan dimulakan pada 1 Jun hingga 20 Jun pada 2026 ini.

“Melalui pendekatan bersepadu ini, kementerian yakin bahawa proses peralihan generasi dalam sektor pertanian dapat dilaksanakan secara berperingkat dan terancang sekali gus mengurangkan kehilangan kapasiti risiko pengeluaran tempatan.

“Dalam jangka panjang, usaha ini juga diharapkan dapat melahirkan lebih banyak agripreneur muda yang lebih inovatif memperkukuhkan seterusnya keterjaminan makanan negara serta memacu pada pembangunan sektor pertanian sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” ujar Yang Berhormat.

Selain daripada usaha-usaha yang diambil oleh kementerian, jelas Yang Berhormat, pengusaha-pengusaha yang ada pada masa ini juga memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat anak-anak mereka untuk meneruskan usaha berkecimpung dalam bidang pertanian, perikanan dan agrimakanan.

Ini tambahnya adalah memandangkan pengusaha sendiri adalah sumber inspirasi dan motivasi yang penting dalam minat anak-anak mereka dan sebagai mentor yang efektif.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI