BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 Mac. – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menyeru agar persatuan dan organisasi yang terlibat akan terus memperkukuh peranan masing-masing melalui usaha yang proaktif serta memberikan kerjasama yang erat bukan sahaja dengan kementerian ini malah dengan agensi-agensi kerajaan yang lain.
Ini adalah kerana usaha membangun masyarakat tidak dapat digalas oleh kerajaan semata-mata tetapi memerlukan penyertaan aktif semua pihak. Melalui sinergi yang berterusan antara kerajaan, Pertubhan Bukan Kerajaan (NGO) dan rakan strategik yang lain, setiap insiatif akan dapat dilaksana secara kolektif dan saling melengkapi demi memastikan kesejahteraan masyarakat terus diperkukuh selaras dengan aspirasi negara dengan memastikan tiada yang tercicir atau no one left behind.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad menyeru perkara itu ketika menjawab soalan mengenai usaha Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dalam meneraju dan menyelaraskan persatuan dan organisasi wanita di bawah satu hab yang berpusat yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam pada hari ke-11 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat lagi, KKBS, khususnya melalui JAPEM selaku salah satu agensi fokal dalam menangani kesejahteraan masyarakat sememangnya memberikan sokongan yang berterusan kepada pelbagai NGOs yang berkecimpung dalam bidang kebajikan dan kemasyarakatan termasuklah persatuan dan organisasi wanita.
Sokongan ini jelas Yang Berhormat lagi, dilaksanakan melalui pelbagai mekanisme seperti penganjuran sesi dialog dan libat urus, penyaluran bantuan kepada NGO yang berkelayakan serta penyediaan kemudahan dan bantuan pembayaran utiliti bagi menyokong pelaksanaan program-program kebajikan dan kemasyarakatan mereka.
“Pendekatan ini sebenarnya bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama strategik antara kerajaan dan masyarakat sivil di samping memastikan usaha yang dilaksanakan dapat diselaraskan dengan lebih baik serta mengelakkan keadaan di mana agensi atau organisasi bergerak secara berasingan, bertindih fungsi atau kurang koordinasi.
“Selain itu, kementerian juga secara berterusan melibatkan persatuan dan organisasi berkepentingan dalam proses perbincangan dan pembangunan dasar kerajaan. Pendekatan ini juga mencerminkan komitmen kerajaan terhadap prinsip atau pendekatan Whole of Nation di mana pembangunan negara dilaksanakan secara kolektif dan inklusif dengan penyertaan pelbagai pihak.
“Sehubungan itu, wakil-wakil persatuan turut dilantik sebagai ahli dalam pelbagai jawatankuasa kebangsaan dan platform perundingan yang relevan tertakluk kepada kesesuaian peranan dan kepakaran masing-masing,” kata Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, antara bentuk penglibatan tersebut termasuklah penyertaan dalam perundingan bagi pembentukan garis panduan kebangsaan, lantikan sebagai ahli jawatankuasa kebangsaan serta penglibatan dalam penganjuran acara-acara kebangsaan dan peringkat antarabangsa.
Dalam konteks pemerkasaan wanita khususnya tambah Yang Berhormat lagi, kementerian berpandangan bahawa pendekatan Whole of Nation adalah amat penting bagi memastikan agenda pembangunam wanita dilaksanakan secara menyeluruh, inklusif dan secara bersepadu. Usaha untuk meletakkan semua persatuan wanita di bawah satu hab berpusat bukanlah sebenarnya merupakan satu intervensi yang bersifat segera atau mendesak ataupun diberi keutamaan.
Sebaliknya kata Yang Berhormat, keutamaan adalah untuk memperkukuh struktur dan mekanisme kerjasama yang sedia ada bagi meningkatkan koordinasi, mengoptimakan penggunaan sumber serta mengelakkan pertindihan inisiatif. Selaras dengan pendekatan tersebut, tumpuan diberikan kepada usaha memperkemas penyelarasan di peringkat institusi dan memperkukuh kerjasama antara pihak-pihak berkepentingan.
Dalam hal ini ujar Yang Berhormat lagi, peranan kepimpinan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam sebagai peneraju utama dalam menyelaras usaha-usaha berkaitan wanita hendaklah terus diperkasakan tanpa perlu mewujudkan satu struktur baharu yang terasing daripada ekosistem kerjasama yang sedia ada.
Bagi memastikan pelaksanaan inisiatif yang lebih terarah dan berimpak kata Yang Berhormat, kerjasama antara agensi kerajaan dan NGO turut diperkukuh melalui pelbagai platform penyelarasan termasuk jawatankuasa-jawatankuasa khas di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial. Antaranya ialah Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, Jawatankuasa Khas Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya serta Jawatankuasa Khas Isu Kemiskinan.
“Mekanisme ini sebenarnya membantu meningkatkan kecekapan tadbir urus, memperjelas peranan setiap pihak serta memastikan setiap inisiatif benar-benar memenuhi keperluan kumpulan sasaran tanpa ada yang tercicir.
“Kaola ingin menarik perhatian terhadap bagaimana persatuan-persatuan lain mengatasi institutional fragmentation masing-masing. Sebagai contoh, aplikasi Mengalinga, iaitu sebuah platform virtual hub yang telah disediakan untuk menyelaras dan menyatupadukan projek dan aktiviti persatuan dengan lebih terarah, meluas dan berimpak tinggi.
“Dengan itu, perkara ini boleh dijadikan sebagai contoh kepada persatuan-persatuan lain untuk meneraju dan menyelaras di bawah satu hab virtual yang berpusat.
“Kementerian akan terus komited dalam memperkukuh kerjasama dengan persatuan dan NGO sebagai rakan pembangunan sosial negara. Pendekatan kolaboratif ini amat penting bagi memastikan sumber dan inisiatif dapat dioptimakan dan di samping mengurangkan pertindihan program serta memperluas impak kepada masyarakat,” ujar Yang Berhormat lagi.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


