BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mac. – Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini, mengetengahkan Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai pada perbahasan Peringkat Jawatankuasa Perbekalan ingin memohon pencerahan mengenai langkah penguatkuasaan terhadap kenderaan yang diubah suai yang menjejaskan keselamatan termasuk pemeriksaan berkala dan penguatkuasaan undang-undang.
Yang Berhormat menyatakan dalam usaha negara meningkatkan kualiti hidup rakyat dan persekitaran yang selamat serta selesa seperti yang digariskan dalam Wawasan Brunei 2035, isu seperti ini tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
Perkara ini juga katanya, digariskan dalam Rang Undang-undang Belanjawan Negara yang menyentuh mengenai keperluan sistem pengangkutan yang lebih mesra alam dan teratur.
Jelas menunjukkan bahawa pembangunan sektor pengangkutan perlu selari dengan aspek keselamatan kawalan pencemaran bunyi dan keseimbangan kehidupan masyarakat.
Yang Berhormat membangkitkan satu isu yang semakin meresahkan masyarakat iaitu kenderaan yang dimodifikasi sehingga mengeluarkan bunyi terlalu kuat seakan-akan letupan khususnya pada waktu malam.
Perkara itu terangnya, bukan saja mengganggu ketenteraman awam malah turut menimbulkan risiko keselamatan akibat pengubahsuaian dan tidak mengikut piawaian yang berpotensi menyebabkan kegagalan sistem serta risiko kebakaran.
“Sehubungan dengan itu, kaola ingin memohon pencerahan apakah langkah penguat kuasa yang sedang dilaksanakan oleh pihak kementerian terhadap kenderaan yang diubah suai secara tidak sah ini?” soal Yang Berhormat.
Yang Berhormat mengajukan jika ada terdapat pemeriksaan atau operasi berkala bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan dan had bunyi, serta apakah garis panduan had bunyi yang ditetapkan serta tahap pemantauan semasa, dan adakah pihak kementerian bercadang untuk memperketatkan undang-undang serta meningkatkan kesedaran awam khususnya dalam kalangan belia?
Dalam pada itu, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz mengetengahkan isu tentang kemudahan tempat letak kereta bagi Orang Kurang Upaya (OKU).
Terangnya, walaupun penyediaannya semakin berleluasa dan wajar dipuji, namun masih terdapat penyalahgunaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sekali gus menjejaskan hak golongan yang benar-benar memerlukan.
Perkara ini berkait rapat dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kehidupan rakyat yang inklusif, berkualiti dan mempunyai akses yang adil kepada kemudahan asas.
Sehubungan itu, Yang Berhormat mencadangkan agar diperkenalkan satu sistem pengenalpastian rasmi seperti pelekat atau permit khas bagi kenderaan OKU bagi memastikan kemudahan ini digunakan secara tertib dan berintegriti.
“Oleh itu, kaola ingin bertanya adakah terdapat perancangan untuk melaksanakan sistem pengenalpastian rasmi kenderaan OKU? Apakah mekanisme penguatkuasaan sedia ada bagi menangani penyalahgunaan kemudahan ini dan apakah usaha yang sedang dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dalam menghormati hak golongan OKU?” soalnya.
Yang Berhormat berpendapat dengan penguatkuasaan yang lebih tegas, dasar yang jelas serta kesedaran masyarakat yang tinggi, kedua-dua isu ini dapat ditangani dengan lebih berkesan sekali gus menyumbang kepada persekitaran yang lebih selamat, harmoni dan inklusif selaras dengan aspirasi negara.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




