26.03.26 Demand Responsive Transit, fleksibel berdasarkan permintaan pengguna

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mac. – Berhubung dengan perkhidmatan bas awam, proses Request for Proposal (RFP) telah berjalan yang mana dua syarikat telah dikenal pasti dan akan diadakan rundingan lanjut mengenainya.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Chong Chin Yee pada Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Perbekalan di Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Yang Berhormat juga turut mengongsikan mengenai Demand Responsive Transit yang lebih fleksibel berdasarkan permintaan pengguna, dengan mengambil kira cadangan orang ramai.

“Kaedah ‘public transport’ yang pada masa ini diterokai selain daripada ‘core route bus network’, apa yang akan dilancarkan dengan insyaAllah pada tahun ini adalah Demand Responsive Transit yang mana ini adalah laluan-laluan bas yang tidak mempunyai laluan tetap seperti ‘it’s more on base on demand of the ridership’,” ujar Yang Berhormat.

Tambah Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi lagi, pihak kementerian juga mengambil baik cadangan Yang Berhormat Chong Chin Yee tentang bagaimana Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dapat mempromosi produk-produk tempatan.

“Untuk makluman, sebelum ini memang ada juga ‘retailer’ yang mempromosi produk-produk tempatan dan juga mendapat sambutan yang baik. InsyaaAllah, seperti jua cadangan untuk bekerjasama dengan pihak BEDB untuk bagaimana kita dapat menempatkan produk-produk tempatan ini untuk mempromosinya di lapangan terbang, InsyaaAllah akan disusuli kemudian,” ujar Yang Berhormat lagi.

Terdahulu dalam perbahasan, Yang Berhormat Chong Chin Yee memohon pencerahan berkenaan usaha memperkukuh penyertaan sivik termasuk kerangka menilai dan mengiktiraf idea awam seperti penambahbaikan Gerai Penjaja di Pantai Jerudong dan menghasilkan peta laluan bas awam yang jelas dan mesra pengguna, berasaskan sistem di negara-negara jiran, memandangkan kedua-duanya adalah relevan dan menerima maklum balas yang positif daripada orang ramai.

Dalam pada itu, Yang Berhormat turut menimbulkan persoalan yang lebih luas mengenai penyertaan sivik dan tindak balas institusi dengan menekankan Whole of Nations Approach yang menggalakkan rakyat khususnya golongan belia untuk menyumbang idea dan mengambil peranan dalam pembangunan komuniti, yang mana apabila sumbangan seperti ini dikemukakan secara konstruktif bagaimanakah ia dapat diiktiraf, dinilai dan jika bersesuaian diketengahkan untuk pelaksanaan.

“Amalan ini di peringkat antarabangsa boleh dijadikan rujukan, negara-negara seperti Singapura, United Kingdom dan Korea Selatan telah menunjukkan platform berstruktur serta sistem pengiktirafan yang secara rasmi menghargai sumbangan orang awam dan memberikan maklum balas terhadap cadangan yang berkepentingan umum,” ujar Yang Berhormat Chong Chin Yee.

Yang Berhormat turut mencadangkan agar dipertimbangkan satu kerangka penyertaan sivik yang lebih berstruktur dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan yang menyediakan saluran jelas untuk memberikan cadangan, memastikan pengiktirafan yang tepat pada masanya terhadap idea yang berimpak serta menghargai inovasi yang dihasilkan oleh komuniti.

Yang Berhormat seterusnya bertanya mengenai perancangan yang ada untuk meningkatkan kemeriahan serta kemampanan komersial di kawasan pelepasan memandangkan jumlah pergerakan penumpang yang agak rendah serta tempoh menunggu selepas imigresen yang agak singkat.

Tambahnya, jika kementerian dapat membuat pertimbangan untuk menyusun semula aliran penumpang seperti memindahkan pemeriksaan imigresen menjadi lebih hampir ke pintu pelepasan supaya kawasan dengan tempoh menunggu yang lebih panjang dapat dimanfaatkan dengan lebih baik bagi tujuan peruncitan, pemakanan dan pengamalan penumpang secara keseluruhan.

Yang Berhormat turut mengesyorkan jika pihak kementerian dapat bekerjasama dengan BEDB untuk menyokong modal runcit yang lebih fleksibel seperti kiosk berskala kecil atau ruang ‘pop-up’ secara bergilir seperti kiosk Made in Brunei bagi mengurangkan halangan kemasukan kepada ‘promising’ perusahaan kecil dan sederhana?

“Banyak lapangan terbang serantau telah mengamalkan pendekatan sedemikian dengan menyampaikan diri mereka bukan sahaja sebagai titik transit tetapi juga sebagai ruang komersial dan budaya yang aktif,” ujarnya.

​(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI