26.03.26 Pendekatan pengurusan risiko bagi sistem kritikal

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mac. – Pada hari kesepuluh Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini, mengetengahkan perbahasan Peringkat Jawatankuasa Perbekalan yang antaranya dibahaskan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat.

Yang Berhormat dalam perbahasannya memohon pencerahan tentang ketahanan sistem di bawah EGNC termasuk mekanisme sandaran susulan insiden platform Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) serta keseimbangan antara kecekapan dan pengurusan risiko.

“Di bawah peruntukan lebih BND57 juta bagi EGNC, kaola ingin menyentuh tahap ketahanan dan kesinambungan sistem digital kerajaan yang kini menjadi komponen penting dalam penyampaian perkhidmatan awam,” ujarnya.

Selaras dengan perbincangan dalam persidangan ini yang menekankan kepentingan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, Yang Berhormat mempersoalkan sejauh mana keupayaan sistem kritikal dapat pulih dengan pantas apabila berlaku gangguan?, seperti insiden yang berlaku pada awal tahun ini di platform Jabatan Pengangkutan Darat, serta apakah mekanisme sandaran yang benar-benar berfungsi bagi memastikan perkhidmatan tidak terhenti.

Dalam konteks integrasi sistem yang semakin meluas, Yang Berhormat turut mempersoalkan bagaimana keseimbangan antara kecekapan dan pengurusan risiko dilaksanakan supaya kegagalan pada satu sistem tidak memberi kesan berantai kepada keseluruhan perkhidmatan kerajaan.

“Berikutan kebergantungan yang semakin meningkat terhadap sistem ini, apakah tahap kesiapsiagaan kepakaran tempatan dalam mengurus dan memulihkan sistem teras khususnya dalam situasi yang memerlukan tindakan segera tanpa kebergantungan yang tinggi kepada pihak atau vendor luar?” soalnya.

Dari sudut pengurusan maklumat pula, Yang Berhormat memohon penjelasan kesiapsiagaan dalam mengurus kebergantungan kepada sistem digital termasuk tadbir urus data dan keselamatan maklumat.

Dalam pada itu, Yang Berhormat turut mencadangkan pendekatan pengurusan risiko bagi sistem kritikal supaya gangguan tidak menjejaskan keseluruhan operasi kerajaan.

“Sebagai cadangan, mungkin boleh dipertimbangkan pendekatan yang memberi penekanan kepada pengasingan risiko bagi sistem-sistem kritikal supaya gangguan pada satu platform tidak menjejaskan keseluruhan rangkaian perkhidmatan.

Dalam masa yang sama, keutamaan juga boleh diberikan kepada sistem yang mempunyai impak langsung kepada orang ramai dengan memastikan kapasiti sandaran dan pemulihan diuji secara berkala dalam keadaan sebenar, bukan sekadar di peringkat perancangan supaya tahap kesiapsiagaan itu benar-benar dapat berfungsi apabila diperlukan,” ujar Yang Berhormat lagi mengakhiri perbahasannya.

​(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI