BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mac. – Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) sedang meneroka pengeluaran benih biji padi hibrid di Negara Brunei Darussalam agar ia tidak terlalu bergantung kepada import.
Salah satu inisiatif penting ialah melalui rundingan dan kerjasama dengan kerajaan Republik Rakyat China bagi penubuhan Hybrid Rice Research Centre di negara ini yang antara lain membina kapasiti negara untuk mengeluarkan biji benih hibrid padi sendiri.
Di samping itu, melalui Stesen Penyelidikan Pertanian di Birau. Penyelidikan juga dijalankan di bidang pembiakan dan penghasilan benih-benih buah tempatan serta pembangunan ‘variety-variety’ baharu buah tempatan.
Di samping mengukuhkan rantaian nilai, KSSUP juga menumpukan kepada pengukuhan kapasiti pengeluaran Perusahaan Mikro, Kecil dan Sedehana, (PMKS) melalui beberapa inisiatif.
Inisiatif pertama, penggunaan teknologi dan teknik moden bagi meningkatkan produktiviti dan pengeluaran hasil pengusaha tempatan turut digalakkan teknologi dan teknik moden termasuk automasi.
Antara teknologi dan teknik moden yang diguna pakai pada masa ini ialah Sistem Feed Lot bagi ternakan lembu di Syarikat PDS Abattoir di Batang Mitus. Sistem reban tertutup digunakan oleh kebanyakan ladang-ladang ayam di negara ini.
Dalam perusahaan tanaman, sistem ‘aquaponic’, pengusahaan tenaga suria, solar, sistem titis, ‘vertical farming’ dalam rumah terlindung, sistem bermeja bagi kawasan mudah banjir, Recirculating Aquacultural System (RAS), bagi penternakan ikan dan udang dan pemantauan kualiti air melalui Internet of Things (IoT). Penggunaan dron bagi menyemburkan racun dan penggunaan data ‘analytic’ dalam pemantauan ladang.
Demikian antara perkara yang diujarkan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam Kenyataan Menteri di bawah tajuk ‘Memperkasakan Pengeluaran dan Memperluaskan Pasaran Produk Pertanian, Perikanan dan Agrimakanan’ pada hari ke-10 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
“Inisiatif kedua, pematuhan piawaian keselamatan makanan. KSSUP memberi penekanan pematuhan piawaian keselamatan makanan domestik dan antarabangsa melalui persijilan termasuk Brunei Good Agricultural Practice, Brunei Good Aquaculture Practice, Good Animals Husbandry Practice, Good Manufacturing Practice dan Hazard Analysis dan Critical Control Point (HUSAB).
“Pihak KSSUP juga menyelaras agensi-agensi antarabangsa seperti Singapore Food Agency dan General Administration of Customs of the People of Republic of China, bagi memastikan keperluan negara pengimport dipatuhi, sekali gus memperluaskan akses produk tempatan ke rangkaian pasaran pasar raya utama dan pasar raya eksport.
“KSSUP juga turut menitikberatkan usaha memperkukuhkan pengurusan biosekuriti ladang. Usaha ini adalah bagi memastikan para pengusaha dan penternak sentiasa mengamalkan amalan pengurusan terbaik untuk menggelakkan ladang-ladang daripada risiko jangkitan penyakit serta serangan musuh perosak yang boleh menjejaskan pengeluaran,” jelas Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan lagi.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


