BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 20 Mac. – Kementerian Pendidikan telah melaksanakan seperti Future Analysis Model, yang merupakan satu penganalisaan yang berterusan untuk menilai dan menambah baik program-program di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Skim Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) bagi memastikan ia sentiasa relevan dengan hala tuju pembangunan dan negara.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh menyatakan perkara tersebut bagi menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai dalam Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Perbekalan bagi Rang Undang – undang Perbekalan (2026/2027) dan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan pada hari kelapan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Ujar Yang Berhormat lagi, kementerian juga menyediakan kurikulum berasaskan industri, terkini ada sebanyak 24 program berkaitan dengan pelancongan, hospitaliti dan culinary yang telah ditawarkan seperti BA in Halal Science daripada Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Diploma in Hospitality Management daripada Politeknik Brunei dan NTec in Hotel and Business Tourism, HNTec Hospitality Operations, HNTec in Travel and Tourisms daripada Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).
Menurut Yang Berhormat lagi, Kementerian Pendidikan juga akan terus bekerjasama rapat dengan Pejabat Perancangan Tenaga Manusia ataupun PPTM dan Manpower Industry Steering Committee bagi memastikan program latihan memenuhi kompetensi yang diminta oleh industri.
“Kementerian Pendidikan jua terus berusaha untuk meningkatkan minat anak tempatan di samping terus berusaha untuk meningkatkan minat anak tempatan melalui aktiviti-aktiviti yang dibuat seperti promosi dan pendedahan melalui aktiviti-aktiviti seperti hari terbuka, Higher Education Expo serta sesi meet and greet bagi program hospitaliti dan pelancongan dan jua meningkatkan minat anak tempatan termasuk juga minat keusahawanan.
“Graduan digalakkan untuk bukan sahaja mencari kerja tapi meneroka peluang sebagai usahawan dalam sektor hospitaliti melalui modul keusahawanan yang telah ditetapkan dan juga yang telah ditawarkan,” ujar Yang Berhormat lagi.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




