19.03.26 Kerjasama pelbagai agensi lancarkan pelaksanaan projek bantuan perumahan

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 19 Mac. – Inisiatif perumahan dan kebajikan asnaf tempat tinggal yang selamat adalah asas kepada kesejahteraan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman dalam sesi Kenyataan Menteri pada Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Menurut Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, jumlah terkumpul dari tahun 2009 hingga 2026, bantuan yang telah disalurkan adalah seperti berikut iaitu pembinaan rumah yang telah dibangunkan adalah sebanyak 128 buah rumah yang mana pada tahun ini saja sejumlah lima buah rumah telah diserahkan di beberapa kawasan iaitu di Kampung Mulaut, Kampung Jaya Setia Berakas, Kampung Sungai Hanching, Kampung Tanah Jambu dan Kampung Serasa.

“Membaiki rumah golongan daif, fakir dan miskin adalah sebanyak 12 buah rumah, yang mana inisiatif bantuan pembinaan dan membaiki rumah adalah bagi membantu golongan asnaf yang berdepan dengan masalah tempat tinggal yang tidak selamat, tidak sesuai didiami atau tidak mempunyai tempat berteduh yang tetap,” ujar Yang Berhormat.

Jelas Yang Berhormat, beberapa usaha juga telah dilaksanakan bagi memastikan agihan bantuan perumahan agar dapat disampaikan dengan lebih berkesan yang mana keutamaan bantuan membaiki rumah atau membangunkan rumah asnaf fakir dan miskin adalah diberikan kepada keluarga yang tinggal di rumah yang uzur, tidak selamat, terdedah kepada banjir dan kerosakan struktur atau tidak lagi ekonomik untuk dibaiki.

Tambahnya, skim bantuan sewa rumah turut dilaksanakan sebagai langkah sementara bagi membantu pemohon yang memerlukan tempat tinggal segera sementara menunggu penyelesaian jangka panjang.

Yang Berhormat menerangkan proses penilaian permohonan turut diperkukuhkan melalui siasatan turun ke lapangan dan penelitian yang lebih terperinci bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan.

Selain itu, kerjasama yang erat dengan agensi berkaitan terus diperkukuhkan bagi melancarkan proses pelaksanaan projek bantuan perumahan.

Hasil perbincangan bersama pihak Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa turut mengemukakan cadangan beberapa tapak tanah di keempat-empat daerah bagi bantuan membina rumah untuk asnaf yang tidak memiliki tanah.

Dalam pada itu, jelas Yang Berhormat lagi, pihak kementerian juga berdepan dengan beberapa cabaran yang sering timbul dalam isu permohonan bantuan perumahan, antaranya isu pemilikan tanah, pemecahan tanah, tuntutan bil utiliti tertunggak dan perkara-perkara berkaitan yang boleh menjejaskan kelancaran pelaksanaan bantuan rumah.

Sehubungan itu, setiap permohonan dinilai secara menyeluruh bagi memastikan bantuan yang diberikan adalah menepati syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI