19.03.26 Memperkukuh tadbir urus pengurusan zakat, wakaf

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 19 Mac. – Keberkesanan zakat dan wakaf tidak hanya diukur melalui angka jumlah kutipan semata-mata.

Keberkesanannya diukur berasaskan kepada tiga aspek utama iaitu ketelusan proses, keberkesanan penyampaian dan impak sebenar.

Perkara tersebut dinyatakan menerusi Kenyataan Menteri bertajuk ‘Memperkukuh Tadbir Urus Zakat dan Wakaf Ke Arah Kesejahteraan Rakyat yang Mampan’ yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, pada Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menjelaskan tiga aspek utama kepada keberkesanan zakat dan wakaf iaitu Ketelusan Proses dalam memastikan setiap sen dana rakyat diurus dengan akauntabiliti tinggi; Keberkesanan Penyampaian dalam mengoptimumkan penggunaan teknologi untuk mempercepatkan agihan zakat dan pengembangan harta wakaf; dan impak sebenar dalam memastikan zakat dan wakaf mampu mengubah taraf hidup rakyat secara jangka panjang.

Menurut Yang Berhormat lagi, pembentangan ini juga menghuraikan empat fokus utama pencapaian dan satu fokus khusus mengenai hala tuju (‘way forward’) kementerian melalui Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal bagi memperkukuh tadbir urus zakat dan wakaf.

Fokus pertama, jelas Yang Berhormat, iaitu Tadbir Urus Kutipan Zakat yang sistematik dan berteraskan digital yang mana pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama secara berterusan berusaha memperkukuhkan pengurusan kutipan agar lebih inklusif dengan pelbagai inisiatif telah dan terus dilaksanakan melalui beberapa pendekatan.

Seperti, Pemerkasaan sistem pengurusan kutipan yang lebih tersusun; Kepelbagaian saluran pembayaran bagi memudahkan pembayar zakat (‘muzakki’); dan Pendekatan kesedaran berterusan mengenai kewajipan zakat sebagai tanggungjawab ugama dan sosial.

Ujar Yang Berhormat, hasil daripada inisiatif-inisiatif tersebut dihasratkan agar proses kutipan menjadi lebih teratur, lebih mudah diakses dan lebih diyakini oleh masyarakat.

Adapun kesan daripada inisiatif-inisiatif tersebut telah dapat dilihat melalui hasil kutipan Zakat Fitrah Tahun 1446H/2025M, dengan jumlah keseluruhan ialah BND1,034,413,03 berbanding BND1,010,126.04 pada tahun 1445H/2024M, iaitu peningkatan sebanyak 2.4 peratus bersamaan BND24,286.99.

“Jumlah pembayar zakat (‘muzakki’) juga meningkat kepada 393,443 orang, berbanding 357,436 orang pada tahun sebelumnya, iaitu pertambahan 36,007 orang (10.07 peratus),” jelas Yang Berhormat.

Daripada jumlah keseluruhan tersebut menurut Yang Berhormat lagi, sebahagian kutipan adalah melalui pembayaran secara dalam talian, yang mencatatkan sebanyak BND387,372.38 dengan 165,094 orang muzakki berbanding BND350,653.70 dengan 118,842 orang ‘muzakki’ pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan 10.47 peratus (BND36,718.68).

Tambah Yang Berhormat lagi, bagi kutipan Zakat Harta bagi Tahun 1446H-1447H/2025M pula mencapai sebanyak BND20,371,761.96, berbanding BND20,186,634.75 pada tahun 1445H/2024M, iaitu peningkatan sebanyak 0.92 peratus bersamaan kira-kira BND185,127.23.

Daripada jumlah tersebut, ujar Yang Berhormat, sebahagian kutipan adalah melalui kaedah potongan automatik, ATM/CRM dan secara dalam talian, yang mencatatkan sebanyak BND 4,166,345.17 dengan jumlah ‘muzakki’ seramai 3,587 orang bagi tahun 1446H/2025M.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI