17.03.26 Terus mempertingkatkan keupayaan operasi, kesiapsiagaan terhadap sebarang kecemasan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 Mac. – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui jabatan-jabatan yang berkaitan terus mempertingkatkan keupayaan operasi, kesiapsiagaan serta respons terhadap sebarang insiden kecemasan dan bencana.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dalam kenyataannya pada hari keenam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, menjelaskan, dalam perbahasan di peringkat dasar pada 16 Mac 2026 yang lalu, pembekalan 10 dari 30 buah jentera Water Tender Ladder secara pajak sewa pada bulan November 2025 kini telah ditempatkan di balai-balai bomba di seluruh negara.

Pembekalan ini menurut Yang Berhormat, bertujuan untuk meningkatkan keupayaan operasi, memperkukuhkan keberkesanan pengkerahan jentera serta mempercepatkan respons terhadap insiden kecemasan, demi memastikan perlindungan nyawa dan harta benda dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan efektif.

“Alhamdulillah, semasa insiden ketiadaan bekalan air baru-baru ini, 10 buah jentera Water Tender Ladder ini telah turut dikerahkan bagi membantu Kementerian Pembangunan untuk mengisi tangki-tangki air di tempat-tempat strategik seperti Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Pusat Kesihatan Berakas, Pusat Dialisis, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, bangunan Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas dan beberapa buah bangunan-bangunan kerajaan lainnya sehingga kerja-kerja pembaikan paip di Kampung Layong selesai dilaksanakan dan pembekalan air stabil,” ujar Yang Berhormat lagi.

Selain itu tambah Yang Berhormat, usaha memperkukuhkan kesiapsiagaan infrastruktur kebombaan turut dilaksanakan melalui projek penggantian pili-pili bomba di seluruh negara di mana fasa pertama telah selesai dilaksanakan pada Jun 2024 melibatkan penggantian 350 buah pili bomba dengan kos sebanyak BND598,786.

Manakala fasa kedua jelas Yang Berhormat lagi, telah mula dilaksanakan pada 23 Disember 2025, yang turut melibatkan penggantian 350 buah pili bomba, termasuk di kawasan Kampong Ayer, juga telah selesai dilaksanakan pada Februari tahun ini.

“Dalam masa yang sama, keupayaan operasi penyelamat turut dipertingkatkan melalui penaiktarafan Pasukan Urban Search And Rescue (USAR) Kebangsaan yang kini dikenali sebagai SATREA iaitu Special Technical Rescue Assistance sejak 13 Mei 2025.

“Langkah ini bertujuan untuk melengkapkan pasukan berkenaan dengan keupayaan yang lebih mantap dalam bidang ‘urban search and rescue’, di samping mempersiapkan pasukan ini ke arah mendapatkan pengiktirafan antarabangsa di bawah International Search and Rescue Advisory Group iaitu INSARAG,” ujar Yang Berhormat lagi.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI