BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 Mac. – Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) sememangnya memberi perhatian kepada penggunaan dapatan penyelidikan daripada institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bagi menyokong pembangunan sektor pertanian, perikanan dan perhutanan secara lebih berasaskan data dan bukti, ‘evidence- based’.
Kerjasama ini bukan saja bertujuan menghasilkan pengetahuan baharu tapi juga untuk memastikan dapatan penyelidikan dapat diaplikasikan kepada kecederasan perniagaan, ‘business intelligence’, penggubalan dasar, keputusan operasi dan pembangunan rantaian nilai ekonomi.
Perkara demikian dijelaskan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin semasa menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin pada hari keenam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
“Dalam sektor pertanian dan agrimakanan, kementerian melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bekerjasama dengan IPT tempatan dalam menjalankan kajian berkaitan teknologi pengeluaran, kelestarian tanah dan peningkatan nilai produk.
“Dapatan pengajian ini akan diuji melalui projek rintis bersama pengusaha dan peladang tempatan sebelum dijadikan sebagai garis pandu atau amalan industri,” ujar Yang Berhormat.
Sebagai contoh jelas Yang Berhormat, kajian dengan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berkaitan dengan ‘regenerative agriculture’ memberi tumpuan kepada pemulihan kesuburan tanah, peningkatan biodiversiti serta pengurangan penggunaan bahan kimia dalam pengeluaran tanaman.
Menurut Yang Berhormat, pendekatan ini bukan saja menyokong kelestarian pertanian tetapi juga meningkatkan kualiti produk dan potensi nilai tambah dalam pasaran. Selain itu, penyelidikan berkaitan pemprosesan makanan turut dijalankan bagi menentukan jangka hayat produk serta meningkatkan standard pembungkusan dan keselamatan makanan dan dapatan ini membantu pengusaha meningkatkan kebolehpasaran produk serta menyokong pengembangan pemasaran.
Dalam sektor perikanan jelas Yang Berhormat, penyelidikan bersama IPT memberi tumpuan kepada penggunaan industri akuakultur yang lebih berdaya tahan dan berasaskan teknologi.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan, antara fokus utama termasuk penerapan teknologi akuakultur pintar dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Teknologi Brunei termasuk sistem pemantauan, kualiti air dan pengurusan kolam berasaskan data bagi meningkatktan produktiviti serta mengoptimumkan penggunaan sumber.
Kedua kata Yang Berhormat lagi, ialah kajian berkenaan dengan biosekuriti dan pemantauan Antimicrobial Resistance (AMR) yang dilaksanakan dengan Univesiti Brunei Darussalam (UBD) di kawasan industri ternakan ikan dalam sangkar bagi memperkukuhkan jaminan kesihatan dan kelestarian industri.
Tambah Yang Berhormat, dapatan penyelidikan ini membantu penyediaan maklumat penting yang boleh digunakan oleh pengusaha dalam membuat keputusan operasi yang lebih tepat serta menyokong pembangunan industri akuakultur yang lebih berdaya saing.
Dalam sektor perhutanan jelas Yang Berhormat lagi, dapatan penyelidikan yang dijalankan oleh IPT tempatan seperti Institute for Biodiversity and Environmental Research, IBER, UBD telah membantu memperkukuhkan asas data dan pengetahuan dalam pengurusan sumber hutan negara.
Menurut Yang Berhormat, penyelidikan tersebut merangkumi pemantauan biodiversiti hutan tropika, kajian hidupan liar di Taman Negara Ulu Temburong serta kajian berkaitan ekosistem hutan paya gambut dan habitat semula jadi.
“Dapatan ini digunakan sebagai rujukan dalam menyokong penggubalan dasar, perancangan guna tanah serta pelaksanaan pengurusan hutan yang lebih mampan.
“Dengan memanfaatkan keunikan khazanah alam semula jadi negara ini dapat diketengahkan sebagai produk pelancongan berasaskan penyelidikan yang bernilai tinggi sekali gus mempromosikan produk ekopelancongan,” ujar Yang Berhormat.
Selain itu tambah Yang Berhormat, dapatan penyelidikan seperti pengiraan asas karbon melalui inventori sumber hutan negara turut menyediakan data penting mengenai stok karbon hutan yang berpotensi menyokong pembangunan inisiatif karbon hutan serta memperkukuhkan rancangan strategik kementerian terutama sekali bagi membolehkan negara melaksanakan ‘carbon trading initiative’.
Yang Berhormat menambah, pendekatan berasaskan penyelidikan dan data ini seterusnya menyokong pembuatan keputusan yang lebih berinformasi, memperkukuhkan pembangunan rantaian nilai ekonomi berasaskan sumber hutan serta membuka peluang baharu dalam ekonomi hijau.
Secara keseluruhannya, tambah Yang Berhormat, kerjasama penyelidikan antara kementerian dan IPT tempatan memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan sumber-sumber utama negara didorong oleh data inovasi dan pengetahuan saintifik dan pendekatan ini bukan sahaja menyokong penggubalan dasar yang lebih berkesan malah membantu meningkatkan produktiviti industri, mengukuhkan rantaian nilai ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor-sektor berkenaan.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)



