BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 Mac. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah menjelaskan, usaha-usaha bagi menjana lebih banyak peluang pekerjaan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi adalah tertumpu antara lainnya melalui tiga pemacu utama ekonomi.
Menurut Yang Berhormat, pertama, melalui peningkatan aktiviti Pelaburan Langsung Asing (FDI); kedua, melalui pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan; serta ketiga, dengan adanya perkembangan operasi bagi Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan, (GLCs) di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II berucap demikian semasa menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim pada hari keenam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, berhubung dengan usaha kementerian dalam menjana lebih banyak lagi peluang pekerjaan.
“Pertama, dari segi menarik FDI, kerajaan terus mempergiat usaha promosi pelaburan yang strategik bagi menarik kemasukan pelaburan berkualiti ke NBD, sekali gus menyokong perwujudan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Setakat bulan Januari 2026, lebih kurang 4,000 peluang pekerjaan telah dijana melalui 25 buah syarikat FDI yang sedang beroperasi di NBD, yang mana proses pelaksanaannya juga telah membantu menjana pelbagai peluang pekerjaan ‘spin-off’ kepada syarikat-syarikat tempatan sama ada secara langsung atau tidak langsung,” ujar Yang Berhormat.
Menurut Yang Berhormat lagi, hasil daripada usaha ini, anak-anak tempatan yang terlibat berpeluang untuk mendapatkan manfaat daripada pemindahan, pengetahuan dan teknologi ataupun ‘knowledge and technology transfers’ dan peluang pekerjaan melalui program-program pembangunan sumber tenaga manusia dalam pelbagai bidang.
Sebagai contah jelas Yang Berhormat, Syarikat Brunei Fertilizer Industry Sendirian Berhad, Syarikat Hengyi Industries Sendirian Berhad dan Barramundi Asia Sendirian Berhad terus menyediakan pelbagai kursus latihan kemahiran asas, teknikal dan pengkhususan termasuk program-program penempatan di dalam industri masing-masing sebagai rancangan jangka panjang pembangunan kapasiti dan persiapan bagi anak-anak tempatan untuk mengambil alih operasi syarikat-syarikat berkenaan di masa hadapan.
Yang Berhormat menambah, pendekatan ini bertujuan memastikan rakyat tempatan bukan sahaja mendapat peluang pekerjaan tetapi juga berkembang menjadi tenaga kerja yang lebih berkualiti dan berdaya saing dalam jangka panjang.
Kedua jelas Yang Berhormat, kementerian juga memberi penekanan kepada pembangunan PMKS tempatan dalam usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan tempatan, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk program-program pembangunan keusahawanan dan peningkatan perniagaan.
Hasil daripada pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini tambah Yang Berhormat, sejak tahun 2018 sebanyak 797 peluang pekerjaan termasuk ‘self-employment’ telah dijana melalui penubuhan 519 buah syarikat baharu hasil daripada penyertaan dalam program Micro Bootcamp.
Yang Berhormat menambah, manakala 869 peluang pekerjaan lagi termasuk ‘self-employment’ telah diwujudkan melalui 174 syarikat baharu hasil daripada penyertaan dalam program Accelerate Bootcamp.
“Selain itu, beberapa buah syarikat ‘start-up’ telah mengembangkan perniagaan dengan membuka cawangan baharu, memperkenalkan produk dan perkhidmatan tambahan serta peroleh kontrak baharu dan perkembangan ini insyaaAllah akan dapat menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan.
“Ketiga, GLCs turut memainkan peranan penting dalam menyokong mewujudkan peluang pekerjaan tempatan melalui perkembangan operasi, pembangunan projek baharu serta pelaksanaan pelaburan strategik dalam sektor-sektor keutamaan,” ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, sepanjang enam tahun kebelakangan, iaitu dari akhir Tahun Kewangan 2020/2021 hingga suku ketiga Tahun Kewangan 2025/2026 prorata peningkatan pekerjaan secara keseluruhan bagi kumpulan syarikat Darussalam Assets adalah sebanyak 6.61 peratus dengan jumlah pekerjaan tempatan meningkat dari 5,585 di Tahun Kewangan 2020/2021 ke 7,811 setakat suku ketiga Tahun Kewangan 2025/2026 di mana 86 peratus daripada tenaga kerja tersebut terdiri daripada warga tempatan.
Jelas Yang Berhormat, usaha ini diperkukuhkan lagi dengan adanya pelancaran Centralised Recruitment System, iaitu sebuah platform pengambilan pekerja bagi Darussalam Assets dan kumpulan syarikat Darussalam Assets.
Setakat ini kata Yang Berhormat, sebanyak 33,467 bilangan pengguna telah mendaftar dan sebanyak 1,207 daripada 1,743 jawatan pekerjaan telah diisi melalui platform tersebut.
“GLCs jua digalakkan untuk menawarkan gaji yang bersesuaian dengan tahap kelulusan dan kemahiran serta mengikut kadar pasaran dengan struktur imbuhan yang sentiasa dikaji dan ditambah baik tertakluk kepada kemampuan dan prestasi kewangan syarikat.
“Pada masa yang sama, penekanan turut diberikan kepada latihan pemindahan teknologi dan pembangunan bakat bagi memastikan rakyat tempatan bersedia mengisi jawatan selaras dengan keperluan industri dan Wawasan Brunei 2035,” ujar Yang Berhormat.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)



