VIENTIANE, REPUBLIK DEMOKRATIK RAKYAT LAO, Isnin, 21 Oktober. – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) menghadiri Perhimpunan Agung ASEAN Inter-Parliamentary Assembly Ke-45 dihoskan oleh Dewan Rakyat Republik Demokratik Rakyat Lao (National Assembly of Lao PDR) yang diadakan pada 18 hingga 22 Oktober 2024, bertempat di National Convention Centre (NCC), Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Lao.
Rombongan Negara Brunei Darussalam (NBD) diketuai oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dan disertai 10 Ahli MMN.
Hadir sama ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah dan pegawai-pegawai dari Urusetia MMN.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar Titah Perutusan bagi Perhimpunan Agung AIPA Ke-45.
Dalam Titah Perutusan, baginda menekankan kepentingan tema Perhimpunan AIPA, yang selaras dengan tema ASEAN ‘Enhancing Connectivity and Resilience’ dalam meneruskan integrasi, perpaduan dan solidariti ASEAN.
Baginda turut menggariskan bahawa Visi Komuniti ASEAN adalah bagi mewujudkan ASEAN yang lebih berdaya tahan, inovatif dan berpaksikan rakyat, yang berfokuskan kepada pembangunan infrastruktur, pengurangan jurang pembangunan serta integrasi ekonomi dan pertukaran antara rakyat.
Baginda juga turut menekankan peranan penting parlimen dalam menyokong dan membentuk Komuniti ASEAN yang berasaskan peraturan dan berteraskan rakyat. NBD kekal komited dalam menyokong usaha AIPA dan yakin bahawa peranan Ahli Parlimen AIPA akan terus menjadi komponen penting dalam memajukan kerjasama serantau untuk kesejahteraan dan kemakmuran bersama.
Majlis Perasmian Perhimpunan Agung AIPA Ke-45 telah berlangsung pada 19 Oktober 2024 dan dibuka rasmi oleh Presiden Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Thongloun Sisoulith.
Dalam ucapan perasmiannya, Tuan Yang Terutama Presiden Republik Demokratik Rakyat Lao menggariskan bahawa tema Perhimpunan Agung AIPA bertepatan dengan usaha ASEAN ke arah merealisasikan Visi Komuniti ASEAN 2025.
Tuan Yang Terutama turut menekankan bahawa AIPA mempunyai peranan penting dalam memperkukuhkan kerjasama ASEAN melalui penggubalan undang-undang dan pengesahan perjanjian antarabangsa, yang akan sama-sama membantu membina Komuniti ASEAN yang lebih kuat, bersatu dan terbuka. TYT juga menekankan keperluan bagi mengurangkan jurang pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di seluruh rantau.
Presiden Dewan Rakyat Republik Demokratik Rakyat Lao, TYT Xaysomphone Phomvihane juga selaku Presiden AIPA (President of the National Assembly of Lao PDR and President of AIPA) di dalam ucaptamanya telah menegaskan Perhimpunan Agung AIPA adalah landasan penting untuk parlimen Negara-negara ASEAN membincangkan cabaran bersama, khususnya dalam konteks isu-isu kritikal serantau dan antarabangsa seperti perubahan iklim, krisis ekonomi dan ketidakstabilan keselamatan.
Tema perhimpunan adalah selaras dengan usaha ASEAN untuk memperkukuh kesalinghubungan dan ketahanan dalam Sektor Pengangkutan, Telekomunikasi dan Tenaga demi memajukan perdagangan, pelaburan dan hubungan antara rakyat ASEAN.
TYT turut menekankan peranan penting parlimen dalam membina ekonomi yang kukuh dan saksama, serta memperkukuh hubungan ASEAN dengan rakan luarnya untuk memastikan kemajuan bersama.
Dalam kenyataan negara di Sidang Plenari Pertama, Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN menekankan kepentingan tema Perhimpunan Agung AIPA Ke-45 yang sejajar dengan visi ASEAN Connectivity Masterplan 2025 dalam mencapai ASEAN yang saling terhubung dan berintegrasi, serta mempromosikan daya saing dan keterangkuman bagi memperkukuh semangat komuniti di ASEAN.
Yang Berhormat turut menegaskan bahawa parlimen berperanan dalam menyokong pembangunan infrastruktur, memperkukuh jaringan digital, serta menghubungkan rakyat dan ekonomi ASEAN. Yang Berhormat juga menyatakan bahawa perhimpunan AIPA merupakan landasan penting untuk memperkukuh dialog dan kerjasama serantau, yang akan memberi manfaat kepada rakyat ASEAN dan memperkuat kedayatahanan serantau.
Yang Berhormat juga menyatakan bahawa dengan kesalinghubungan dan pertumbuhan inklusif, ASEAN akan menjadi lebih bersepadu dan mampu menawarkan peluang yang lebih luas kepada rakyatnya.
Perhimpunan Agung AIPA berlangsung selama lima hari dalam membincangkan pelbagai isu yang menjadi kepentingan dan keprihatinan bersama parlimen-parlimen negara ASEAN, di bawah Komiti Politik, Ekonomi, Sosial, Organisasi, Ahli Parlimen Wanita dan Ahli Parlimen Muda.
(sumber berita: Pelita Brunei)




