BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Mac. – Kerajaan juga akan meneruskan usaha untuk memupuk hubungan yang lebih kukuh dengan rakan kongsi antarabangsa bagi meningkatkan akses kepada pasaran baharu, peluang pelaburan dan teknologi terkini bagi membantu sektor-sektor industri tempatan.
Syarikat-syarikat tempatan adalah diseru untuk merebut peluang-peluang daripada hasil kerjasama ekonomi tersebut dengan mengambil bahagian dalam rantaian nilai serantau dan global, sekali gus meningkatkan daya saingnya dalam pasaran global.
Oleh itu, beberapa perkembangan terkini bagi Perjanjian-perjanjian Perdagangan Bebas antaranya kerajaan meratifikasi Protocol on the Accession of the United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland to Comprehensive and Progressive Agreement for Trans Pacific Partnership (CPTPP) dan telah berkuat kuasa pada 15 Disember 2024.
Dengan adanya United Kingdom (UK) sebagai ahli CPTPP ini, ianya dijangka akan membuka lebih banyak peluang-peluang perdagangan dan pelaburan di antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan UK. CPTPP akan membuka akses pasaran kepada 600 juta orang penduduk dengan jumlah keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mencapai lebih kurang USD13.5 trillion.
Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah semasa membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2025) Perbekalan 2025 / 2026 pada hari ketiga Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi di Dewan Persidangan, Bangunan Dewan Majlis di sini.
Tambah Yang Berhormat lagi, Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) selaku agensi yang menerajui perundingan CPTPP dan perjanjian-perjanjian perdagangan yang sedia ada, akan terus giat mengadakan sesi pemberigaan dan perjumpaan bersama dengan pihak-pihak yang berkepentingan, terutamanya pihak swasta dan pengusaha tempatan dengan tujuan meningkatkan lagi pengetahuan mengenai faedah-faedah yang boleh dimanfaatkan melalui perjanjian-perjanjian ini.
Pada 24 Julai 2024 lalu jelas Yang Berhormat, MOFE telah mengadakan satu sesi Stakeholder Engagement dengan kerjasama Hal Ehwal Global Kanada dan Jabatan Perniagaan dan Perdagangan, UK. Sesi tersebut telah dihadiri oleh kira-kira 100 peserta yang terdiri daripada sektor swasta dan agensi kerajaan, dan bertujuan untuk menyediakan platform bagi memberigakan dan mempromosikan kegunaan CPTPP, beserta menyediakan peluang rangkaian atau networking opportunities bagi syarikat dan agensi yang hadir.
Bagi mempertingkatkan pentadbiran perkhidmatan percukaian dan seterusnya mempermudahkan persekitaran perniagaan di NBD, MOFE telah pun melaksanakan beberapa inisiatif untuk mempermodenkan proses pemfailan dan penaksiran cukai termasuk menggubal dan membuat pindaan undang-undang.
“Satu modul tambahan telah diperkenalkan di bawah One Common Portal – System for Tax Administration and Revenue Services (OCP STARS), iaitu pemfailan Amended Tax Returns mulai 69 Tahun Taksiran 2025. Kemudahan ini disediakan secara ‘online’ melalui OCP STARS bagi membolehkan pihak syarikat-syarikat pembayar Cukai Korporat untuk menghadapkan secara sukarela pemfailan Amended Tax Return.
“Seterusnya, ke arah mendukung penghasilan produk dan perkhidmatan berkualiti, dan bagi memastikan produk-produk keluaran negara diiktiraf, selamat dan mudah diterima oleh pasaran global, Majlis Standard dan Akreditasi Brunei Darussalam telah pun diaktifkan semula mulai bulan Februari 2024.
“Peranan majlis ini adalah untuk menangani isu-isu berkaitan dasar, program dan aktiviti-aktiviti standard dan akreditasi. Dengan pengaktifan semula majlis ini, peranan Pusat Standard Kebangsaan (PSK) juga diperkembangkan dan kini dikenali sebagai Pusat Standard dan Akreditasi Brunei Darussalam (PSABD).
“Penambahbaikan ini merangkumi bidang akreditasi, mengambil kira kepentingannya dalam memastikan sijil-sijil kualiti yang dikeluarkan sepanjang proses Global Value Chain (GVC) bagi perdagangan global memenuhi piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” ujar Yang Berhormat lagi.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




