10.03.25 Tanggungjawab membina masjid tetap mengikut hukum syarak

​BERAKAS, Isnin, 10 Mac. – Kutipan Tabung Dana Masjid bagi tempoh Januari hingga Jun 2024 mencatatkan jumlah yang dikongsikan adalah bagi kiraan enam bulan pertama sahaja dan bukannya untuk setahun penuh bagi tahun 2024.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin pada hari kelapan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, jumlah keseluruhan dalam Tabung Dana Masjid sebagaimana yang disebutkan tadi, apabila ditolak bagi tujuan pengubahsuaian, pembaikan, pembesaran dan sebagainya, memanglah berbaki sebanyak BND9.9 juta.

Namun begitu tambah Yang Berhormat, setelah ditolak bagi perancangan ke hadapan, baki yang tinggal adalah lebih kurang BND2 juta sahaja dan ini juga belum mengambil kira ‘sunken account’ iaitu sebanyak 10 peratus daripada kutipan yang disimpan khas untuk perbelanjaan pembaikan dan penyelenggaraan kepada masjid-masjid yang dibangunkan di bawah Tabung Dana Masjid, dan akaun tersebut sememangnya telah diwujudkan.

Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat berharap sebarang kecurigaan mengenai ketelusan pengurusan dana berkenaan dapat dihilangkan, khususnya apabila ada pihak yang menyatakan rasa ragu dan syak wasangka terhadap kutipan Tabung Dana Masjid.

Walau bagaimanapun ujar Yang Berhormat lagi, Alhamdulillah, kutipan Tabung Dana Masjid kekal konsisten dan menunjukkan trend peningkatan sejak tahun 2015 hingga 2024.

“Pada tahun 2015, sebelum adanya skim kutipan tetap, jumlah kutipan hanya mencatatkan sebanyak BND1.2 juta.

“Namun setelah adanya skim sumbangan tetap, kutipan meningkat kepada kepada BND3 juta, BND3.06 juta.

“Seterusnya, tahun 2017 mencatatkan sebanyak BND3.2 juta, dan pada tahun 2018 meningkat lagi daripada BND3 juta kepada BND4 juta. Sejak tahun 2019 sehingga tahun lepas, kutipan tidak kurang daripada BND4 juta,” jelas Yang Berhormat.

Ini menurut Yang Berhormat, mencerminkan kesedaran masyarakat negara ini dalam menyumbang kepada Tabung Dana Masjid, sebagaimana yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam membawa orang ramai menanam saham di akhirat.

Yang Berhormat turut menegaskan bahawa tanggungjawab kerajaan untuk membina masjid tetap akan diteruskan mengikut hukum syarak, sebagaimana amanah Walil Amri dan negara Islam yang menjalankan pemerintahan dengan hukum-hukum Islam.

“Oleh itu, pembangunan masjid di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) akan tetap dilaksanakan oleh kerajaan.

“Alhamdulillah, mudah-mudahan dengan penjelasan ini dapat menghilangkan sebarang kecurigaan mahupun ketidakfahaman dan orang ramai akan lebih memahami kedudukan sebenar Tabung Dana Masjid ini,” jelas Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat juga menyatakan bahawa biasanya mereka yang aktif membuat sumbangan tidak mudah untuk berbicara mengenai kecurigaan kerana mereka memahami bahawa dalam bersedekah itu, jika disertai dengan rasa syak wasangka, akan menghilangkan pahala sedekah tersebut.

Menutup penjelasannya, Yang Berhormat mengharapkan agar penjelasan yang diberikan semasa majlis tersebut akan dapat mengatasi segala persoalan, mengurangkan keraguan, dan seterusnya menaruh keyakinan untuk sama-sama menyahut seruan dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam menjayakan Tabung Dana Masjid.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI