BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Mac. – Sebanyak 522 kes kesalahan pembuangan sampah haram dan berkaitan kebersihan dicatatkan di seluruh negara pada tahun 2024, berbanding 442 kes pada tahun 2023.
Daripada jumlah kes pada tahun 2023, 201 melibatkan individu persendirian manakala 241 melibatkan syarikat atau organisasi.
Kutipan denda bagi kesalahan-kesalahan tersebut berjumlah kira-kira BND229,300 pada tahun 2023 hasil daripada kompaun yang dikenakan ke arah individu persendirian dan syarikat-syarikat.
Sementara itu pada tahun 2024, 344 kes melibatkan individu persendirian manakala 184 kes melibatkan syarikat atau organisasi.
Jumlah denda yang berjaya dikutip hasil tindakan penguatkuasaan pada tahun 2024 telah meningkat kepada BND272,900.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid mengongsikan perkara tersebut semasa menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ketua Kampung Belimbing, pada hari kesepuluh Persidangan MMN di Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat Menteri Pembangunan, tindakan tegas itu diambil di bawah peruntukan Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian 2021, Penggal 30 yang mengawal perbuatan membuang sampah merata tempat, membuang sisa pepejal di kawasan awam, dan lain-lain pelanggaran berkaitan kebersihan.
“Di samping penguatkuasaan terhadap kesalahan pembuangan sampah secara haram, tumpuan turut diberikan kepada kebersihan tandas awam terutamanya di bangunan-bangunan kerajaan dan komersial. Satu sistem pemantauan dan penggredan tandas awam telah diperkenalkan di mana tahap kebersihan setiap tandas akan dinilai secara berkala.
Tandas-tandas ini diberi gred, contohnya A, B, atau C, berdasarkan kriteria seperti kebersihan ruang tandas, kelengkapan asas yang disediakan dan kekerapan penyelenggaraan,” ujar Yang Berhormat.
Selain itu, usaha sedang dilakukan untuk menggubal peraturan baharu yang lebih khusus bagi menangani isu kebersihan dan vandalisme tandas awam termasuk cadangan perundangan menetapkan penalti minima bagi perbuatan merosakkan atau mencuri kelengkapan tandas.
Inisiatif-inisiatif terkini ini masih dalam proses pelaksanaan dan dipantau rapi oleh Jawatankuasa Induk Isu-lsu Kebersihan.
Secara keseluruhannya, melalui pendekatan-pendekatan yang diselaraskan melalui Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan, semua usaha kebersihan dapat dijalankan secara sistematik dan bersepadu dan tidak ada timbul isu-isu pertindihan inisiatif yang telah dapat dielakkan melalui kepimpinan jawatankuasa berkenaan yang digabungkan secara strategik untuk mencapai objektif kebersihan dalam negara dengan lebih tersusun dan berkesan.
Terdahulu, Yang Berhormat menekankan, isu kebersihan di Negara Brunei Darussalam telah diambil tindakan bersepadu bersama dengan peranan aktif tiga kementerian dengan penubuhan Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan sejak tahun 2018.
Jawatankuasa induk ini diterajui bersama dengan peranan tiga kementerian, yang dipengerusikan bersama Menteri Kesihatan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Menteri Pembangunan.
Melalui pendekatan Whole of Government, jawatankuasa induk berkenaan bertanggungjawab dalam menetapkan dasar kebersihan negara, merangka strategi kebangsaan serta memantau pelaksanaan inisiatif kebersihan.
“Selaras dengan objektifnya, jawatankuasa ini turut menekankan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap kesalahan alam sekitar seperti pembuangan sampah secara haram.
Jawatankuasa Induk ini juga menitikberatkan pembaikan dan meningkatkan penjagaan kebersihan, kemudahan dan fasiliti awam termasuk tandas awam di bangunan komersial serta premis awam serta bangunan-bangunan kerajaan dan swasta termasuk institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah di negara ini agar standard kebersihan dipatuhi,” ujar Yang Berhormat.
Ke arah ini, peranan setiap kementerian dan agensi yang berkaitan ditentukan secara jelas dalam memastikan kebersihan negara terjaga.
Yang Berhormat menambah, penyelarasan ini bukan sahaja mengelakkan pertindihan tugas tetapi juga meningkatkan kecekapan dalam perkhidmatan kebersihan di seluruh negara.
Tugas-tugas diagihkan dengan sistematik antara agensi-agensi berkaitan melalui tiga kumpulan petindak utama, masing-masing diterajui oleh kementerian-kementerian berkenaan yang bertanggungjawab terhadap aspek-aspek berbeza dalam pengurusan kebersihan yang disebutkan.
“Di antaranya ialah, Pertama, Kumpulan Petindak Penambahbaikan Kemudahan dan Fasiliti Perkhidmatan Kebersihan. Kumpulan ini diterajui oleh Kementerian Pembangunan dan bertanggungjawab terhadap penambahbaikan dan penyelenggaraan infrastruktur kebersihan serta perkhidmatan berkaitan. Ini termasuk meningkatkan sistem pengurusan sampah, penyelenggaraan jalan dan longkang secara konsisten serta penggunaan info-teknologi untuk memantau status dan tindakan kebersihan awam.
Kedua, Kumpulan Petindak Perundangan dan Penguatkuasaan. Kumpulan ini diterajui oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan memberi tumpuan kepada pengukuhan undang-undang kebersihan, menyelaras operasi penguatkuasaan serta memastikan tindakan tegas diambil terhadap kesalahan kebersihan bagi memastikan setiap peraturan kebersihan dikuatkuasakan secara konsisten dan berkesan.
Ketiga, Kumpulan Petindak Kesedaran dan Penglibatan Pihak Berkepentingan. Kumpulan ini diterajui oleh Kementerian Kesihatan yang bertanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran awam serta penglibatan masyarakat dalam usaha kebersihan. Kumpulan ini menjalankan kempen kesedaran tentang pentingnya kebersihan yang memberi impak kepada kesihatan awam, program pendidikan di sekolah dan kerjasama dengan NGO, syarikat swasta, Majlis Perundingan Mukim, Majlis Perundingan Kampung dalam aktiviti sosial,” jelas Yang Berhormat.
Menurut Yang Berhormat, matlamat utama adalah memastikan masyarakat secara aktif menyumbang kepada tindakan kebersihan persekitaran.
Ketiga-tiga kumpulan petindak berkenaan bekerjasama di bawah pemantauan Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan, memastikan semua aspek kebersihan iaitu prasarana, perundangan, dan kesedaran awam diberikan perhatian secara seimbang dan bersepadu serta saling melengkapi antara satu sama yang lain.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




