BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Mac. – Merujuk Tajuk SE01A Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) bagi Anggaran Perbelanjaan Kemajuan Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 12/11, Tajuk Memajukan Industri Pelancongan, Pengukuhan Pecahan Produk 011 atau iaitu Pakej Pelancongan Kampong Ayer dengan jumlah keseluruhan rancangan sebanyak BND5,780,000 dan Perbelanjaan bagi Tahun Kewangan 2025/2026 sebanyak BND734,600, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam memohon pencerahan mengenai produk ataupun pakej pelancongan yang dimaksudkan di dalam projek tersebut dan kawasan kampung yang disasarkan.
Perkara itu diketengahkan pada hari ke-10 Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Sementara itu, Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim juga menimbulkan beberapa soalan antaranya, terdapat satu kod baharu diperkenalkan iaitu Kod 001/007 Kemudahan Perwakilan Tetap. Ke arah itu, Yang Berhormat memohon pencerahan apakah sebenarnya objektif projek berkenaan dan apakah ‘intended output’ atau sasaran yang akan diraih darinya.
Yang Berhormat juga ingin memohon pencerahan mengenai perkembangan sebenar dan terkini projek ini, serta kaedah-kaedah lain yang boleh dilaksanakan bagi memperbaiki keadaan suasana perkampungan air.
Soalan yang sama turut dibangkit oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin.
Menjawab soalan berkenaan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman berkata, pembangunan semula Kampong Ayer, sebagaimana yang ditanyakan tadi iaitu dengan Harga Rancangan sejumlah BND32.8 juta adalah masih dalam penelitian untuk mereviu semula skop projek dengan memberi tumpuan kepada menaik taraf jambatan kayu utama kepada jambatan konkrit sepanjang 21.9 kilometer (km) selaras sepertimana jua penilaian daripada Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) dalam melaksanakan kerja-kerja pembaikan.
Jelas Yang Berhormat, JDBM melalui KHEDN terus melaksanakan kerja-kerja pembaikan kemudahan sedia ada secara berfasa termasuk jeti dan jambatan di mana sejak tahun 2022 hingga 2024, kerja-kerja pembaikan jambatan kayu telah dilaksanakan sepanjang 7.127 km dengan kos sebanyak BND815,988. Kalau dilihat dari peruntukan yang dinyatakan itu walaupun ia nampaknya sedikit tapi kementerian memang membagi keutamaan untuk memastikan jambatan-jambatan diperbaiki.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




