28.08.26 MMN menghadiri 2nd Inter-Parliamentary Speakers’ Conference

Hari Jumaat, 28 Ogos 2026 – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah menghadiri Persidangan 2nd Inter-Parliamentary Speakers’ Conference (ISC-2) yang diadakan pada 26 hingga 28 Ogos 2026 di Phnom Penh, Kemboja. Hadir bagi mewakili MMN ke persidangan tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

Persidangan tersebut, yang dianjurkan bersama oleh Dewan Senate dan National Assembly of the Kingdom of Cambodia, telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen, President of the Senate of the Kingdom of Cambodia.

Diadakan di bawah tema “Solidarity for Peace and Shared Prosperity: Strengthening International Law and Resolving Conflicts Peacefully”, persidangan tersebut menghimpunkan Speaker, pemimpin serta wakil-wakil parlimen dan organisasi antara parlimen dari pelbagai negara bagi bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu kepentingan bersama, khususnya dalam memperkukuh keamanan, kerjasama antarabangsa dan penyelesaian konflik secara aman.

Dalam sesi perbahasan umum, delegasi-delegasi yang hadir mengongsikan pandangan mengenai kepentingan memperkukuh kerjasama dan dialog dalam menangani cabaran global dan serantau. Berucap semasa sesi perbahasan umum tersebut, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman turut menggariskan kepentingan diplomasi parlimen dalam memberikan sumbangan bermakna dalam mempromosi keamanan dan kemakmuran bersama.

Sebagai sebahagian daripada program sampingan persidangan, para ketua delegasi turut berkesempatan menghadiri Majlis Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Preah Bat Samdech Preah Boromneath Norodom Sihamoni, Raja Kemboja, yang berlangsung di Royal Palace, Phnom Penh pada 27 Ogos 2026. Selain itu, para ketua delegasi juga berkesempatan mengadakan Majlis Kunjungan Hormat kepada Tuan Yang Terutama Samdech Moha Borvor Thipadei Hun Manet, Perdana Menteri Kemboja, yang berlangsung di Peace Palace, Phnom Penh pada 28 Ogos 2026.

Persidangan diakhiri dengan penerimaan dan kelulusan Phnom Penh Declaration, yang mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh solidariti, keamanan dan kerjasama antarabangsa, serta menggalakkan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan penyelesaian pertikaian secara aman melalui dialog dan rundingan.

 

BERITA TERKINI