Selasa, 22 September, Bandar Seri Begawan – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pagi tadi menerima Kunjungan Hormat daripada Tuan Yang Terutama Bayin Chaolu, Member of the Standing Committee of the National People’s Congress (NPC) of the People’s Republic of China and Chairman of the Ethnic Affairs Committee of NPC, di Bangunan Dewan Majlis. Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md Yusof, Ahli Majlis Mesyuarat Negara mewakili Majlis Mesyuarat Negara sebagai Ketua Delegasi Majlis Mesyuarat Negara sewaktu Kunjungan Hormat tersebut.
Rombongan Tuan Yang Terutama Bayin Chaolu turut disertai oleh Tuan Yang Terutama Bai Shangcheng dan Puan Yang Terutama Zhou Min, Members of the Standing Committee of the National People’s Congress (NPC) of China & Vice Chairmen of the Ethnic Affairs Committee of NPC, berserta pegawai-pegawai kanan daripada NPC. Hadir bersama rombongan ialah Tuan Yang Terutama Chen Shaochun, bakal Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam. Turut hadir dari MMN ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, serta Yang Mulia Datin Paduka Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara.
Semasa Kunjungan Hormat tersebut, kedua-dua pihak menyentuh mengenai hubungan persahabatan yang erat antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China bersempena Ulang Tahun Ke-35 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun ini, serta usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang ekonomi, tenaga, pendidikan, pelancongan dan bidang-bidang berkepentingan bersama.
Perbincangan turut menyentuh hubungan baik antara Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) Republik Rakyat China, termasuk kesinambungan pertukaran lawatan dan kerjasama antara kedua-dua institusi perundangan. Tuan Yang Terutama Bayin Chaolu turut berkongsi mengenai peranan Jawatankuasa Hal Ehwal Etnik NPC (Ethnic Affairs Committee of NPC) dalam usaha memajukan pembangunan masyarakat pelbagai etnik di Republik Rakyat China.
Kunjungan Hormat tersebut merupakan sebahagian daripada lawatan kerja Tuan Yang Terutama Bayin Chaolu dan rombongan ke Negara Brunei Darusalam selama tiga hari bermula 22 hingga 24 September 2026 dalam usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China, termasuk melalui pertukaran dan interaksi dalam bidang-bidang berkepentingan bersama.

![[MMN] COURTESY CALL H.E. BAYIN CHAOLU (3).JPG](/wp-content/uploads/2026/09/MMN-COURTESY-CALL-H.E.-BAYIN-CHAOLU-3.JPG-scaled.jpeg)


