BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos 2026 – Dalam kerangka tadbir urus berlandaskan syarak, pentadbiran negara bukan sekadar mengurus peraturan, institusi dan sumber. Ia merupakan suatu amanah untuk merealisasikan maslahat dan mencegah mafsadah. Maslahat ialah kebaikan yang diiktiraf syarak dan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Oleh itu, dalam mempertimbangkan sesuatu dasar, penilaiannya bukan sekadar sama ada ia boleh dilaksanakan, tetapi juga kebaikan yang dihasilkan, kemudaratan yang dicegah, hak rakyat yang dipelihara dan keselarasan pelaksanaannya dengan syarak. Inilah erti pentadbiran sebagai amanah membawa kebaikan, menegakkan keadilan dan mencegah kerosakan.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan berucap semasa menyampaikan perbahasan usul pada hari keenam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.
Menurut Yang Berhormat, prinsip ini diperkukuh oleh kaedah fiqh yang dihimpunkan oleh Imam al-Suyuti dalam al-Ashbah wa al-Naza’ir bermaksud ‘Setiap keputusan dan tindakan pemerintah dalam mengurus hal ehwal rakyat hendaklah berasaskan kemaslahatan (iaitu yang diiktiraf, yang berpaksi kepada kebaikan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta)’.
Bertolak daripada prinsip ini jelas Yang Berhormat, dasar dan tindakan kerajaan digerakkan untuk merealisasikan kemaslahatan rakyat dan mencegah kemudaratan. Syura menjadi kaedah tadbir urus yang menghimpunkan ilmu, pengalaman dan pandangan agar setiap keputusan dapat diperhalusi, serta dilaksanakan dengan adil dan berkesan.
“Allah Subhanahu Wata’ala memuji orang-orang beriman dengan firman-Nya dalam Surah al-Syura, ayat 38 dengan tafsir “Dan urusan mereka diputuskan dengan bermesyuarat sesama mereka”. Ayat ini meletakkan musyawarah sebagai adab dalam mengurus urusan bersama. Setiap ahli hendaklah mendengar dengan terbuka dan menyampaikan pandangan dengan ilmu, amanah dan hikmah demi mencapai keputusan yang terbaik,” kongsi Yang Berhormat.
Ujar Yang Berhormat lagi, dalam acuan Negara Brunei Darussalam, MMN menghidupkan semangat tersebut menurut Perlembagaan, Peraturan-peraturan Mesyuarat dan falsafah Melayu Islam Beraja. Di bawah naungan pemerintahan beraja, Ahli-ahli bermuzakarah, mendapatkan penjelasan, membahaskan dasar serta mengemukakan pandangan dan cadangan demi agama, raja, rakyat dan negara.
Inilah nilai penting MMN iaitu pada mutu penelitian, kesediaan semua pihak untuk mendengar dan tindakan susulan yang lahir dari perbahasan, jelas Yang Berhormat lagi.
Sepanjang persidangan ini tambah Yang Berhormat, pertanyaan, kenyataan menteri dan perbahasan telah menyentuh kesejahteraan rakyat, pembangunan negara, kehidupan beragama dan tadbir urus.
Ujar Yang Berhormat, secara khusus bagi Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), perhatian dewan antara lain tertumpu kepada penyampaian perkhidmatan agama, pengukuhan institusi dan penyesuaian dengan keperluan semasa. Pandangan yang dikemukakan menjadi bahan muhasabah dan penelitian agar kementerian terus relevan dan berkesan serta berpaksikan hukum syarak, Maqasid Syariah dan falsafah Melayu Islam Beraja.
Pada kesempatan ini, Yang Berhormat turut menyentuh Usul Bilangan 4/2026, iaitu ‘Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035’. Usul ini telah dibahaskan dan diluluskan dengan persetujuan semua Ahli Yang Berhormat pada 6 Ogos 2026.
“Selaras dengan keputusan sebulat suara majlis, kaola menyambut baik tujuan usul berkenaan. Pelantikan tiga Menteri Penyelaras merupakan langkah strategik untuk memperkukuh penyelarasan rentas kementerian serta memastikan dasar kerajaan dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
“Usul tersebut menekankan kejelasan tanggungjawab, kecekapan membuat keputusan, tumpuan kepada hasil dan penglibatan masyarakat yang hendaklah diterjemahkan kepada manfaat nyata bagi rakyat dan sudah setentunya prinsip Maqasid Syariah akan menjadi neraca dalam penyelarasan dasar dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” kata Yang Berhormat.
Berpandukan neraca tersebut serta Pelan Strategik KHEU 2025-2029, Yang Berhormat beriltizam memastikan lima teras strategik kementerian diterjemahkan kepada tindakan yang berfokus iaitu memperkasa pendidikan agama dan Arab yang berkualiti; mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berinovatif; memperkukuh dakwah dan kesejahteraan sosial yang inklusif; memperteguh keutuhan modal insan yang mampan serta meneroka peluang pembangunan ekonomi yang dinamik, termasuk melalui keusahawanan, pemerkasaan sosioekonomi umat, pengurusan zakat dan wakaf serta penyelidikan berimpak.
Pelan Strategik Kementerian ini, jelas Yang Berhormat telah disejajarkan dengan Wawasan Brunei 2035 serta blueprint dan agenda pembangunan kebangsaan yang berkaitan, dengan kemajuannya diselaraskan dan dipantau secara berkala agar manfaatnya benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.
KHEU memainkan peranan penting dalam mendukung agenda pembangunan negara melalui pendekatan bersepadu selaras dengan tumpuan Yang Berhormat Menteri – menteri Penyelaras khusus dalam memperkukuhkan kesejahteraan masyarakat, keharmonian negara dan pembangunan insan yang semuanya berteraskan nilai-nilai Islam, terang Yang Berhormat.
Menyentuh mengenai Usul Bilangan 5/2026 mengenai Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN, Yang Berhormat berkata usul ini telah diluluskan dengan pindaan, supaya draf kod dirujuk kepada sebuah Jawatankuasa untuk diteliti, diperhalusi dan dikemukakan semula kepada majlis dalam tempoh enam bulan.
Pada hemat Yang Berhormat, penggubalan kod ini bukan semata-mata soal peraturan, tetapi merupakan usaha memperkukuh budaya amanah, tanggungjawab dan profesionalisme dalam majlis. Kod yang dirangka dengan jelas, menyeluruh dan praktikal serta dilaksanakan dengan adil akan menjadi panduan bersama dalam memelihara kewibawaan majlis dan mengukuhkan keyakinan rakyat.
“Dalam kerangka yang lebih luas, kedua-dua usul yang telah dibahaskan adalah saling melengkapi. Usul menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 memperkukuh hala tuju dan keupayaan pelaksanaan. Manakala Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan memperkukuh nilai amanah, integriti dan kewibawaan institusi. Apabila hala tuju, pelaksanaan dan amanah bergerak seiring, InsyaaAllah setiap usaha akan lebih berkesan serta mendatangkan maslahat kepada negara dan rakyat,” tekan Yang Berhormat.
Terdahulu, Yang Berhormat berucap menjadi Ahli MMN bukan sekadar suatu kedudukan, bahkan suatu amanah. Di dalam dewan yang mulia ini, amanah ini menuntut untuk menyampaikan pandangan dengan penuh tanggungjawab. Setiap pertanyaan, cadangan dan jawapan menuntut persediaan serta penelitian kerana semuanya menjadi sebahagian daripada rekod rasmi yang boleh dinilai oleh rakyat dan generasi akan datang.
“Persidangan ini memperlihatkan manfaat MMN sebagai wadah menghimpunkan pengetahuan, pengalaman pentadbiran dan pandangan masyarakat, supaya dasar dan ruang penambahbaikan dapat diteliti bersama.
“Hal ini tergambar melalui perjalanan persidangan yang tersusun. Pertanyaan menyediakan ruang mendapatkan penjelasan, perbahasan memperhalusi isu dan dasar, manakala usul membawa perkara tertentu kepada pertimbangan serta keputusan majlis,” ujar Yang Berhormat.
(sumber berita: Pelita Brunei ; sumber gambar: Info Foto, Jbt Penerangan)




