BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 Mac. – Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan ataupun GLCs di Negara Brunei Darussalam (NBD) adalah ditubuhkan di bawah Akta Syarikat-syarikat (Penggal 39) yang mana ianya tidak diterkecuali daripada keperluan untuk mematuhi peraturan-peraturan digariskan di bawah akta tersebut dalam memastikan adanya tadbir urus yang kukuh dan tulus.
Ini khususnya juga dari segi penyediaan penyata dan perakuanan kewangan, pemfailan berkanun, pengauditan syarikat dan juga urus tadbir lembaga pengarah.
Perkara itu dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah bagi menjawab soalan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin; dan Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin pada hari ke-11 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Jelas Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II lagi, sepertimana juga syarikat-syarikat lain, akta tersebut mewajibkan syarikat-syarikat GLCs untuk mematuhi peruntukan-peruntukan undang-undang NBD berkenaan yang lain, iaitu seperti Akta Cukai Pendapatan (Penggal 35), Akta Amanah Pekerja (Penggal 167), Akta Perkerjaan (Penggal 278) dan Perintah Perlindungan Data Peribadi 2025.
“Dalam memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti syarikat-syarikat GLCs, yang di bawah pemantauan Darussalam Assets pula, beberapa usaha telah dilaksanakan dalam memastikan adanya peringatan pada urus tadbir, proses dan sistem syarikat selaras dengan piawaian dan amalan terbaik antarabangsa. Ini termasuk seperti melalui penyediaan garis panduan Darussalam Assets Corporate Governances Code and Corporate Governances Manual bagi memastikan adanya peranan dan tanggungjawab lembaga pengarah yang jelas serta penggunaan piawai International Financial Reporting Standards (IFRS) dalam proses pengurusan kewangan syarikat yang mana akan dapat menyumbang kepada meningkatkan keyakinan pelabur.
“Selain itu, dari segi pengukuhan fungsi pengurusan sumber manusia dan untuk mewujudkan budaya kerja yang berasaskan prestasi ataupun performance base culture, inisiatif-inisiatif seperti perlaksanaan System Enterprise Resource Planning termasuk SAP Human Resource Management System dan SAP Finance,” kata Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menambah, pelaksanaan strategi Pembangunan Modal Insan ataupun Human Capital Development dan Pembangunan Sistem Pengurusan Sumber Manusia, (Human Resource Management System) turut dilaksanakan.
“Seterusnya, berhubungan dengan soalan PL024 pula, kaola juga ingin mengongsikan bahawa secara lazimnya pemilihan lembaga pengarah syarikat-syarikat, GLCs khususnya juga yang di bawah pemantauan Darussalam Assets adalah tertakluk kepada tadbir urus Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) sebagai sebahagian daripada portfolio Minister for Finance Corporation,” jelas Yang Berhormat.
Kata Yang Berhormat, satu jawatankuasa yang digelar GLCs Nomination Committee telah pun ditubuhkan sebagai penilai bebas untuk membuat penilaian dan pertimbangan dalam menentukan keahlian lembaga-lembaga pengarah bagi syarikat-syarikat di bawah Minister for Finance Corporation untuk memastikan, pertama, Ahli-ahli Lembaga Pengarah GLCs mempunyai kemahiran, pengalaman dan kepelbagaian yang betul untuk mentadbir syarikat-syarikat GLCs dengan berkesan.
Kedua jelas Yang Berhormat lagi, saiz dan komposisi Lembaga Pengarah adalah sesuai untuk menyokong pengawasan berkesan terhadap objektif strategik dan pengawasan GLCs; dan ketiga, calon yang berkualiti dan sesuai dilantik ke jawatan Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah termasuk Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.
“Penilaian prestasi lembaga juga dilaksanakan secara berkala bagi memastikan setiap GLC diurus secara profesional, tulus dan berorientasikan prestasi selaras dengan kepentingan negara dan nilai terbaik kepada kerajaan sebagai pemegang saham,” ujar Yang Berhormat lagi.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


