28.03.26 Memastikan garis panduan DADG 2018 dipatuhi secara menyeluruh

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 Mac. – Langkah-langkah yang dipraktikkan atau yang dilaksanakan bagi pembangunan khususnya pembinaan bangunan-bangunan baharu supaya lebih inklusif dan selamat dan boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat mengikut keperluan termasuk individu yang mempunyai keperluan berbeza atau persons with different abilities.

Sememangnya pelaksanaan ini dibuat dengan mekanisme bagi memastikan garis panduan Different Abilities Design Guideline, iaitu DADG 2018 dipatuhi secara menyeluruh.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid mengongsikan perkara itu semasa menjawab soalan mengenai dengan pelaksanaan DADG 2018 di negara ini yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam pada hari ke-11 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Jelas Yang Berhormat Menteri Pembangunan lagi, pertama, ialah bagi pembinaan bangunan baharu, Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan, iaitu ABCi, juga mengadakan keperluan mandatori, iaitu pematuhan terhadap reka bentuk inklusif dalam proses kelulusan pelan dan kesiapan bangunan-bangunan baharu komersial yang dihadapkan oleh qualified person yang dilantik oleh pemaju.

“Perkara ini berkuat kuasa mulai daripada 1 September 2024. Ini termasuk penyediaan kemudahan seperti laluan akses tanpa halangan, tandas mesra pengguna, laluan ramp, kemudahan ‘parking’ khas serta kemudahan navigasi yang sesuai.

“Dengan keperluan ini, setiap permohonan kemajuan dianggap sebagai tidak lengkap jika laporan mengenai penyediaan keperluan aksesibiliti ini tidak disertakan oleh ‘qualified person’.

“Kedua, bagi bangunan-bangunan yang sedia ada, kementerian mengambil inisiatif, melalui agensi-agensi yang berkaitan bagi menggalakkan pelaksanaan kerja-kerja penaiktarafan secara berperingkat agar kemudahan bangunan lebih mesra pengguna kepada golongan kelainan upaya khususnya di bangunan awam dan kemudahan yang sering digunakan oleh orang ramai,” kata Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya menambah, ketiga, dari segi penguatkuasaan dan pemantauan, kementeriannya akan terus meningkatkan usaha kesedaran dan pematuhan industri terhadap garis panduan ini melalui sesi taklimat teknikal, panduan reka bentuk serta kerjasama dengan pihak profesional dalam industri pembinaan.

“Selain itu, kementerian ini juga sedang meneliti langkah-langkah bagi memperbaiki lagi pelaksanaan DADG 2018 ini secara lebih sistematik, ini termasuk penyelarasan dengan piawaian perancangan dan kawalan pembangunan supaya reka bentuk inklusif dapat diterapkan secara lebih konsisten dalam pembangunan bagi bangunan-bangunan baharu di masa hadapan,” ujar Yang Berhormat lagi.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI