26.03.26 Transformasi pengusaha tempatan berorientasikan eksport

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mac. – Untuk mempercepatkan perkembangan industri pemakanan agrimakanan, pendekatan pengkelasan pengusaha kepada tiga kategori iaitu Tier One, Tier Two dan Tier Three telah digunakan.

Ini membolehkan kejadian seumpamanya yang lebih bersasar berdasarkan tahap pembangunan perniagaan pengusaha dan juga mempercepatkan transformasi pengusaha tempatan daripada pengeluaran kecil kepada pengeluaran yang berorientasikan eksport.

Pengusaha Tier One terdiri daripada syarikat yang berjaya menembusi pasaran eksport dan sedang memperluaskan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Tier Two merangkumi syarikat yang mempunyai potensi berkembang maju dan seterusnya mengembangluaskan pasaran produk mereka bukan saja pasaran domestik malah juga pasaran antarabangsa pada masa yang terdekat.

Manakala Tier Three melibatkan syarikat berskala kecil atau ‘homebased’ yang mempunyai potensi untuk berkembang kepada perusahaan yang bertapak di kawasan yang lebih sesuai yang membolehkan pengeluaran yang lebih tersusun mematuhi piawaian industri makanan.

Demikian antara perkara yang diujarkan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam Kenyataan Menteri di bawah tajuk ‘Memperkasakan Pengeluaran dan Memperluaskan Pasaran Produk Pertanian, Perikanan dan Agrimakanan’ pada hari ke-10 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Berbalik kepada inisiatif seterusnya, ujar Yang Berhormat, penambahbaikan sistem logistik untuk membolehkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mengeksport dengan lebih efisien, mengukuhkan logistik termasuk ‘fasiliti cold chain’ dengan kerjasama dengan agensi-agensi lain seperti Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei dan BIACC serta syarikat-syarikat swasta seperti Syarikat Aqua Cold, Royal Brunei dan Singapore Airlines adalah penting terutama sekali dalam membantu pengusaha mendapatkan penghantaran yang ‘cost effective’.

Selain itu, jelas Yang Berhormat, program penambahbaikan bahan import dan sistem penyimpanan turut dilaksanakan untuk memudahkan pengimportan bahan import yang diperlukan oleh pengusaha tempatan dan peningkatan sistem penyimpanan yang efisien serta program perniagaan dengan pembekal tempatan.

“Inisiatif yang lainnya ialah strategi ‘product differentiation’. Menggalakkan strategi ‘product differentiation’ yang memberikan kelebihan dari segi kualiti dan harga premium untuk bersaing di peringkat antarabangsa dari segi harga adalah amat sukar lebih-lebih lagi apabila bersaing dengan syarikat-syarikat besar dari negara-negara yang mempunyai kos operasi yang lebih rendah.

“Sebagai contoh dari pengalaman pengeksportan udang organik. Negara Brunei Darussalam telah berjaya meraih harga premium yang melebih tinggi dari udang yang sama keluarannya daripada negara-negara lain dengan hanya menggunakan ‘organic shrimp brand’.

“Usaha lain menggunakan strategi ‘product differentiation’ pada masa ni ialah sayur-sayuran ‘Brunei pesticide free’, telur ayam omega serta ‘cornfed chicken’ bagi produk ayam Brunei halal bagi produk halal dan penggunaan premium ‘beef’ bagi produk hasil berasaskan daging,” tambah Yang Berhormat lagi.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI