BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mac. – Sebagai usaha salah satu langkah penting dalam mencapai objektif menembusi pasaran antarabangsa, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) menekankan sokongan dan komitmen strategik kepada penubuhan Agritech Food Zone Brunei – Singapura (ATFZ) sebagai sebahagian usaha memacu agenda mempelbagaikan ekonomi negara.
Inisiatif ini juga akan meningkatkan produktiviti dan memudah cara menembusi pasaran antarabangsa serta keberkesanan ketahanan bekalan makanan bagi kedua-dua negara dengan memudahkan pelaburan agrimakanan bernilai tinggi, menjana peluang pekerjaan serta meningkatkan kapasiti pengusaha tempatan melalui penumpuan pengukuhan inovasi teknologi pertanian di samping menarik lebih banyak pelabur-pelabur asing ke negara ini.
Ia mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam pengukuhan kerjasama dan meningkatkan sekuriti makanan dan ketahanan perdagangan yang mampan dalam sektor agrimakanan.
Melalui pendekatan menyeluruh ini, KSSUP berharap lebih banyak produk pertanian, perikanan dan agrimakanan tempatan dapat menembusi pasaran antarabangsa serta meningkatkan nilai eksport negara pada masa yang akan datang.
Di samping itu, membolehkan syarikat tempatan meningkatkan kapasiti pengeluaran lebih besar dan efisien dan seterusnya mencapai ‘economic skill’, mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan daya saing di pasaran domestik dan global.
Demikian antara perkara yang diujarkan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam Kenyataan Menteri di bawah tajuk ‘Memperkasakan Pengeluaran dan Memperluaskan Pasaran Produk Pertanian, Perikanan dan Agrimakanan’ pada hari ke-10 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
“Walaupun KSSUP memfokuskan kepada usaha-usaha memperkasakan imej eksport ini, pengukuhan sekuriti makanan negara kekal menjadi keutamaan di samping menjana pertumbuhan sektor pemakanan. Kedua-dua strategi ini saling melengkapi dan akan membantu negara mencapai tahap sara diri melebihi 100 peratus.
“Pada keseluruhannya, segala usaha yang diungkayahkan oleh KSSUP menjurus kepada pertama yang sama iaitu untuk memperkukuhkan lagi sumbangan sektor pemakanan kepada pembangunan ekonomi negara serta membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada pengusaha-pengusaha dan juga anak tempatan dengan menyasarkan peningkatan nilai sektor makanan daripada BND729 juta pada tahun 2025 kepada BND1.5 bilion menjelang tahun 2035.
“Dengan sokongan berterusan daripada semua pihak serta dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala, insyaaAllah usaha-usaha ini akan terus mengukuhkan kedudukan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang makmur, berdaya saing dan berdaya tahan di peringkat serantau dan antarabangsa,” ujar Yang Berhormat mengakhiri Kenyataan Menteri pada persidangan tersebut.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


