26.03.26 Inisiatif pastikan produk negara menembusi pasaran antarabangsa

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mac. – Bagi memastikan produk negara mampu menembusi pasaran antarabangsa, pihak kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif seperti berikut iaitu Pertama : Mengkukuhkan kapasiti pihak berkuasa, ‘competent authority’ yang menyelia industri iaitu Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Jabatan Perikanan dan juga Autoriti Makanan Brunei Darussalam dan agensi antarabangsa bagi mendapatkan ‘competent authority’ di negara import.

Melalui usaha ini, beberapa produk tempatan telah berjaya menembusi pasaran luaran negara. Produk pertanian seperti telur ayam telah dieksport ke Republik Singapura, melon ke Republik Rakyat China dan produk-produk agrimakanan ke Sabah dan Sarawak, Malaysia serta Republik Singapura manakala produk perikanan dieksport ke Republik Singapura, Malaysia, Jepun, Republik Rakyat China dan juga Amerika Syarikat.

Kedua : Meneroka dan mengakses pasaran-pasaran baharu dengan meningkatkan hubungan perdagangan dua hala dengan negara-negara lain melalui kerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Bahagian Perdagangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Usaha ini turut memanfaatkan perjanjian perdagangan seperti Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) dan Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP).

Melalui kerjasama dua hala Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Rakyat China, protokol bagi pengeksportan produk-produk perikanan dan produk bagi pertanian telah di tandatangani bersama dengan pihak General Administration of Customs of the People’s Republic of China masing-masing pada tahun 2023 dan 2019. Perjanjian ini membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk memperluaskan pasaran ke negara berkenaan.

Selain itu, hasil perundingan dan bekerjasama dengan ‘competent authority’ di negara pengimport dalam tahun 2024, produk berasaskan daging telah juga berjaya menembusi pasaran eksport ke Sabah, Malaysia dan Republik Singapura.

Dalam masa yang sama, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) sedang giat membantu pengusaha-pengusaha sayur-sayuran dan buah-buahan untuk mengeksport ke Republik Singapura antaranya menyelaras dan mengadakan ‘business matching’ dengan empat buah pengedar daripada pihak Singapura serta memberi sokongan dalam penyediaan logistik termasuk kemudahan ‘cold chain’.

Demikian antara perkara yang diujarkan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam Kenyataan Menteri di bawah tajuk ‘Memperkasakan Pengeluaran dan Memperluaskan Pasaran Produk Pertanian, Perikanan dan Agrimakanan’ pada hari ke-10 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Ketiga, ujar Yang Berhormat lagi, peranan dan penglibatan belia yang juga memberi penekanan dan terus memperkasakan dalam melancarkan lagi Export Drive Initiative ini. Ini mengambil kira golongan belia adalah peneraju inovasi serta memberikan sumbangan langsung yang signifikan terhadap peningkatan kapasiti pengeluaran pemakanan domestik bagi mengurangkan kebergantungan kepada import dan seterusnya sekuriti negara.

“Sehubungan itu, KSSUP melalui jabatan-jabatan di bawahnya bergiat aktif dalam melaksanakan ekosistem sokongan seperti program dan inisiatif seperti program pendedahan belia, bertani, belia cipta rasa, projek perintis, pembesaran pengusahaan, khidmat nasihat serta program-program yang lain yang di reka khas untuk menarik serta membina kompetensi para pengusaha khususnya dalam kalangan belia.

“Di samping itu, pembangunan ekosistem keusahawanan belia yang mampan dengan penyerapan yang berkualiti standard yang tinggi dan mematuhi piawaian antarabangsa produk-produk yang dikhaskan belia ini berfungsi untuk berpotensi untuk menembusi pasaran global.

“Secara keseluruhannya jumlah pengusaha belia yang aktif dalam industri pertanian, perikanan, agrimakanan telah mencapai seramai 93 orang pada tahun 2025. Daripada jumlah tersebut 86 orang merupakan usahawan dalam bidang pertanian dan 7 dalam bidang perikanan,” tambah Yang Berhormat.

Keempat, jelas Yang Berhormat, mempersiapkan syarikat-syarikat tempatan untuk menembusi pasaran tempat eksport melalui inisiatif utama seperti berikut iaitu Pertama : Mengukuhkan rangkaian nilai industri bagi keberkesanan industri bermula fasa pra-pengeluaran serta akses pasaran.

KSSUP memfokuskan kepada pengeluaran hasil pertanian yang lebih lestari dan mampan dengan menumpukan usaha untuk mengukuhkan dan meningkatkan bekalan ‘input’ domestik termasuk penghasilan anak ayam ‘small chick’ dan benih ikan di negara ini.

Program pembiakan kambing dan lembu juga bakal di laksanakan melalui projek rintis yang diungkayahkan oleh sektor swasta di antara Syarikat PDS Abattoir Sdn. Bhd. dan dengan syarikat dari Republik Singapura.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI