26.03.26 Export Drive Initiative memperluas pasaran antarabangsa

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mac. – Dalam usaha mengukuhkan daya tahan ekonomi negara serta memperluaskan sumbangan sektor bukan minyak dan gas kepada pertumbuhan pengeluaran dalam kasar negara KDNK. Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) terus memberi tumpuan kepada pembangunan industri pertanian, perikanan dan agrimakanan yang lebih berdaya saing, berinovasi serta berorientasikan eksport.

Pada tahun 2025 jumlah nilai keluaran sektor makanan adalah sekitar BND734 juta, iaitu BND557 juta sumbangan daripada sektor pertanian dan agrimakanan dan BND178 juta dari sektor perikanan. Jumlah nilai eksport sektor makanan adalah dalam sekitar BND13 juta iaitu BND7.68 juta dari sektor pertanian dan agrimakanan dan BND5.68 juta dari sektor perikanan.

Sebelum ini tumpuan strategi perkembangan industri menumpukan banyak kepada ‘self- sufficiency’ negara, semata-mata memenuhi permintaan pasaran domestik ini boleh mengehadkan potensi pertumbuhannya dan menjadikan industri ini ‘stagnant’. Keadaan ini turut menimbulkan risiko kerana sebarang gangguan dalam rantaian pengeluaran boleh menjejaskan sekuriti makanan negara.

Justeru, negara kita perlu melangkah lebih jauh bukan sekadar mencapai tahap sara diri tapi memperkasakan industri tempatan untuk meningkatkan skala pengeluaran dan bersaing di pasaran antarabangsa.

Bagi memastikan sektor makanan terus berkembang dan menyumbang secara berterusan kepada usaha mempelbagaikan ekonomi negara dan menjamin sekuriti makanan, KSSUP memberi tumpuan kepada inisiatif strategik iaitu Export Drive Initiative. Pendekatan ini bukan saja menekankan aktiviti pengeluaran makanan ke arah mencapai sara diri malah turut menggalakkan pengeluaran yang berorientasikan pasaran eksport.

Demikian antara perkara yang diujarkan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam Kenyataan Menteri di bawah tajuk ‘Memperkasakan Pengeluaran dan Memperluaskan Pasaran Produk Pertanian, Perikanan dan Agrimakanan’ pada hari ke-10 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

“Export Drive Initiative memberi beberapa manfaat strategik kepada pembangunan sektor makanan dan jaminan sekuriti makanan negara antaranya adalah seperti berikut iaitu Pertama : Ia membuka dan memperluaskan akses ke pasaran serantau dan antarabangsa sekali gus membolehkan syarikat-syarikat tempatan berkembang secara berterusan.

“Perkembangan ini bukan sahaja meningkatkan sumbangan kepada sektor KDNK malah juga turut menunjukkan banyak peluang-peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.

“Kedua : Pernyataan dalam pasaran eksport turut mendorong peningkatan dalam pematuhan standard dan kualiti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan khususnya bagi memenuhi keperluan negara pengimport dalam menyerapkan amalan pengurusan terbaik dalam operasi mereka seperti Brunei Good Agriculture Practice, Brunei Good Aquaculture Practice dan Brunei Good Manufacturing Practice,” ujar Yang Berhormat lagi.

Ketiga, tambah Yang Berhormat, usaha memperkukuhkan inisiatif eksport juga menyumbang kepada pengukuhan jaminan sekuriti makanan negara. Peningkatan kapasiti pengeluaran bukan sahaja bertujuan mencapai tahap diri 100 peratus malah berpotensi melebihi tahap tersebut.

Sebagai contoh, dengan pengeksportan telur ayam ke Singapura bermula pada hujung 2022 tahap sara diri bagi telur ayam kini telah meningkat pada 112 peratus dan masih terus meningkat.

Keempat, penglibatan dalam pasaran eksport membolehkan syarikat tempatan mencapai ‘economies of scale’ dengan mengeluarkan pengeluaran kapasiti yang besar dan efisien. Usaha ini membantu mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran domestik serantau dan global.

“Di samping itu dengan meningkatkan pengeluaran domestik akan membolehkan kita mengukuhkan ‘the whole value chain’ terutama pembangunan industri bahan import seperti biji benih, anak ayam, benih ikan dan udang, makanan haiwan dan baja di negara ini dan seterusnya mengukuhkan sekuriti makanan negara,” tambah Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI