26.03.26 Bantu pengusaha tingkatkan aspek penjenamaan, pengurusan produk

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mac. – Selain daripada perlaksanaan piawaian GBJAP, BGAQP dan GAHP, pihak Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan ( KSSUP) telah dan akan terus memberikan latihan teknikal serta tunjuk ajar kepada para pengusaha di samping menjalankan pemantauan dan audit ladang secara berterusan.

Program-program yang dijalankan oleh pihak KSSUP ini meliputi, Pertama : Pembinaan kapasiti dan latihan termasuk bantuan jabatan-jabatan berkenaan dalam memberi panduan dan membantu syarikat menghasilkan Standard Operating Procedure yang berkesan, mudah diikuti dan dilaksanakan.

Kedua : Pengesanan awal, ‘early detection’ melalui lawatan ladang dan program ‘surveillance’ kebangsaan bagi mencegah dan mengawal penyakit dan juga memastikan ternakan dan tanaman dalam keadaan sihat dan bebas penyakit. Dan Ketiga : Pengawalan penggunaan ubat-ubat ‘veterinary’ serta agen ‘antimicrobial’ bagi mengelakkan ‘residue’ selaras dengan keperluan akses pasaran dan eksport dalam mengekalkan status bebas penyakit.

Demikian antara perkara yang diujarkan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam Kenyataan Menteri di bawah tajuk ‘Memperkasakan Pengeluaran dan Memperluaskan Pasaran Produk Pertanian, Perikanan dan Agrimakanan’ pada hari ke-10 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Inisiatif seterusnya, jelas Yang Berhormat lagi, Product Enhancement Program bagi Pengusaha Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Melalui Program Product Enhancement, penekanan diberikan kepada usaha mengukuhkan kualiti produk seperti penambahbaikan pembungkusan, pelabelan dan juga Kajian Shelf Life Product bertujuan untuk meningkatkan daya saing produk di pasaran.

Selain itu, inisiatif pembangunan penal nutrisi produk juga diperkenalkan yang mana setakat ini sebanyak 70 produk tempatan telah menjalani analisa kimia di makmal bagi memastikan pelabelan nutrisi yang tepat dan mematuhi keperluan pasaran.

“Projek Seeing is Believing telah dilaksanakan bagi membantu pengusaha meningkatkan aspek penjenamaan dan pengurusan produk. Daripada 10 pengusaha, sebanyak 30 produk tempatan telah menaik taraf identiti visual produk agar lebih menarik dan kompetitif. Kajian penetapan ‘shelf life product’, juga turut dilaksanakan bagi memastikan ketahanan produk tempatan semasa proses pengedaran dan pemasaran. Sebanyak tujuh syarikat melibatkan 17 produk berjaya melalui proses pengesanan tempoh simpanan produk.

“KSSUP juga terus mengukuhkan pembangunan kapasiti pengusaha melalui pelaksanaan pelbagai kursus dan latihan seperti Program Belia Ciptarasa, Good Manufacturing Practice Awareness Training, HACCP Foundation, Food Traceability, Product Recall Management, Kursus Pemeliharaan Jenis Ternakan dan juga Kesihatan Haiwan serta Latihan Penggunaan Racun Perosak.

“KSSUP dengan kerjasama agensi-agensi berkenaan juga memberi sokongan melalui program peningkatan kapasiti, pembinaan penyediaan tapak dan lesen yang lebih sesuai serta bantuan dalam proses permohonan pembiayaan bagi kemudahan perkembangan perniagaan. Langkah ini penting bagi membolehkan pengusaha tempatan beralih daripada perusahaan skala kecil terutama sekali daripada ‘homebased’ kepada pengeluaran yang lebih tersusun dan berdaya saing,” ujar Yang Berhormat.

​(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI