BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 Mac. – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad menyifatkan cadangan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman berhubung penambahbaikan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) dengan melibatkan golongan belia lepasan sekolah dan yang menanti pekerjaan sebagai sangat bermakna dan mempunyai nilai yang amat tinggi.
Cadangan tersebut, menurut Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, amat signifikan khususnya dalam usaha mempersiapkan para belia untuk mendapatkan pekerjaan serta kebolehan menjana kehidupan masa depan.
Perkara berkenaan dinyatakan ketika menjawab pada hari kesembilan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.
Yang Berhormat turut mengongsikan maklum balas daripada orang ramai termasuk ibu bapa dan majikan hasil daripada kursus-kursus yang dijalankan di PKBN. Program berkenaan berupaya mengubah peserta dari segi minda, cara berfikir, fizikal serta daya ketahanan diri (‘resilience’).
Dari sudut individu, tambah Yang Berhormat, maklum balas ibu bapa menunjukkan terdapat perubahan ketara dalam sikap peserta, termasuk daripada seorang yang kurang menghormati ibu bapa kepada individu yang lebih berdisiplin serta menghormati keluarga.
Manakala daripada perspektif majikan, terdapat perubahan terhadap individu yang sebelum ini mudah berputus asa kepada individu yang lebih cekal, berdedikasi dan rajin dalam melaksanakan tugas. Perubahan ini jelas dilihat sepanjang pelaksanaan Program Jati Diri yang telah dijalankan sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, dengan penerimaan yang amat membanggakan daripada majikan termasuk sektor swasta, jelas Yang Berhormat.
Walau bagaimanapun, Yang Berhormat menjelaskan lagi bahawa pelaksanaan program berkenaan melibatkan kos yang tinggi, dengan anggaran sekitar BND3,500 bagi setiap peserta.
Sehubungan itu, tambah Yang Berhormat, pengurusan sumber kerajaan perlu dilaksanakan secara berhati-hati dengan mengambil kira keperluan sebenar serta jumlah penyertaan yang bersesuaian dalam membuka peluang kepada golongan belia mengikuti program tersebut.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


