25.03.26 Penambahbaikan tingkatkan kecekapan, responsif jalan raya

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 Mac. – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menjelaskan, dari segi pelaksanaan semasa kerja-kerja pemeliharaan jalan dilaksanakan melalui kontrak penggal atau projek pembaikan berjadual, terdapat 18 projek pembaikan jalan raya yang telah dan sedang dilaksanakan.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan berkata, sebanyak 11 kontrak telah disiapkan melibatkan kira-kira 16.8 kilometer jalan utama, ini termasuklah pembaikan Jalan Mentiri, Kota Batu yang telah siap dilaksanakan.

Manakala jelas Yang Berhormat lagi, selebihnya sedang dalam pelaksanaan penilaian dan tawaran semula yang melibatkan tambahan pembaikan sebanyak 26.3 kilometer.

“Walau bagaimanapun, kementerian menyedari terdapat beberapa cabaran yang menyumbang kepada kelewatan antaranya adalah keperluan penyelarasan teknikal dan utiliti bawah tanah, keadaan cuaca yang tidak menentu serta keperluan memastikan kualiti kerja menepati spesifikasi yang ditetapkan,” ujar Yang Berhormat pada hari kesembilan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Sehubungan itu, tambah Yang Berhormat, beberapa langkah penambahbaikan sedang dan akan dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan dan responsif sistem pemeliharaan jalan raya.

Pertama, katanya, ialah memperkukuhkan keutamaan pembaikan berdasarkan tahap risiko dan impak kepada pengguna khususnya di laluan utama, memperkemas tempoh tindak balas melalui pemantauan berkala dan kementerian turut meneliti penggunaan teknologi baharu dalam kerja-kerja membaik pulih dan menurap semula dalam memastikan ketahanan jalan raya selaras juga dengan beberapa cadangan yang disampaikan.

Yang Behormat seterusnya mengongsikan, dengan penggunaan ‘asphalt fiber reinforcement’ atau ‘fiber’ dalam campuran asfalt untuk meningkatkan ketahanan lapisan asfalt daripada keretakan dan jalan yang berombak.

Kedua, jelas Yang Berhormat, pemasangan ‘fiber glass reinforcement grit’ bertujuan untuk meningkatkan kekuatan dasar struktur jalan raya untuk lebih tahan terhadap beban lalu lintas seterusnya mencegah jalan raya yang tidak rata, retak dan sebagainya.

Ketiga, tambah Yang Behormat pula, penggunaan ‘polymers’ yang digunakan dalam campuran ‘road base’ dan ini untuk menghasilkan lapisan yang meningkatkan ketahanan terhadap air dan beban lalu lintas yang mana ini diharapkan dapat mengurangkan kerosakan seperti jalan berlubang, retak dan sebagainya.

Dan keempat, tambahnya, adalah dari segi penyampaian perkhidmatan, kementerian juga sedang memperkukuh saluran aduan dan pemantauan bagi membolehkan maklumat kerosakan disalurkan dengan lebih cepat dan teratur.

Selain itu, Yang Behormat juga mengambil baik saranan mengenai perkara ini, supaya satu sistem penerimaan aduan ini akan dapat dibuat untuk memperbaiki keadaan yang sedia ada.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI